Trump umum jambatan tertinggi Iran dibom, 8 terkorban - Utusan Malaysia

Trump umum jambatan tertinggi Iran dibom, 8 terkorban

JAMBATAN tertinggi dibom di Karaj. - Truth Social
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata pada Khamis bahawa jambatan tertinggi di Iran telah dimusnahkan, beberapa jam selepas beliau mengancam untuk mengebom negara itu sehingga  kembali ke Zaman Batu.

Timbalan Gabenor Alborz, Ghodratollah Seif berkata, serangan itu telah mengorbankan lapan orang dan mencederakan 95 yang lain, menurut televisyen negara dan agensi berita Fars.

Disebabkan sekatan pelaporan, AFP tidak dapat mengakses lokasi serangan dan juga tidak dapat mengesahkan angka korban di Iran secara bebas.

Trump memuat naik rakaman di media sosial yang menunjukkan asap naik dari jambatan B1 itu di Karaj, kira-kira 35 kilometer di barat daya Teheran, sambil memberi amaran bahawa akan ada lebih banyak kemusnahan jika Iran tidak bersetuju untuk menamatkan perang yang telah berlarutan selama lima minggu.

“Jambatan terbesar di Iran runtuh dan tidak akan digunakan lagi, banyak lagi akan menyusul!. Sudah tiba masanya untuk Iran membuat perjanjian sebelum terlambat dan sebelum tiada apa-apa lagi yang tinggal di sebuah negara yang masih boleh menjadi hebat,” kata Trump. 

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi bagaimanapun berkata dalam satu hantaran di X: “Menyerang struktur awam, termasuk jambatan yang belum siap, tidak akan memaksa rakyat Iran untuk menyerah diri.

“Ia hanya menunjukkan kekalahan dan keruntuhan moral musuh yang berada dalam keadaan huru-hara.”

Televisyen negara Iran sebelum itu melaporkan dua serangan AS-Israel ke atas jambatan tersebut.

“Beberapa minit lalu, musuh Amerika-Zionis sekali lagi menyasarkan jambatan B1 di Karaj,” kata televisyen negara, sambil menambah bahawa serangan pertama telah menyebabkan dua korban awam.

Ia berkata, serangan kedua berlaku ketika pasukan kecemasan berada di lokasi untuk membantu mangsa serangan pertama.

Jambatan B1, yang masih dalam pembinaan, dianggap sebagai yang tertinggi di Asia Barat, menurut media Iran, dengan tiang setinggi 136 meter.

Trump menyampaikan ucapan pada Rabu di mana beliau berkata bahawa perang yang dilancarkan oleh AS  dan Israel pada 28 Februari hampir tamat walaupun pada masa yang sama beliau mengancam untuk mengebom Iran dengan amat dahsyat jika negara itu tidak tunduk kepada tuntutannya. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN