WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Khamis menolak kemungkinan menyerang Iran dengan senjata nuklear, selepas ancaman terdahulunya untuk memusnahkan tamadun negara itu.
“Tidak, saya tidak akan menggunakannya,” kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih.
“Mengapa saya perlu gunakan senjata nuklear sedangkan kita dengan cara yang sangat konvensional, telah melemahkan mereka tanpa itu?” soalnya.
“Senjata nuklear tidak sepatutnya dibenarkan digunakan oleh sesiapa pun,” tambahnya.
Pada 7 April, Trump mengeluarkan ancaman berunsur genosid terhadap Iran dengan berkata: “Seluruh tamadun akan mati malam ini dan tidak akan kembali.”
Namun, dalam tempoh beberapa jam beliau kemudian bersetuju dengan gencatan senjata yang sejak itu dilanjutkan dalam perang dilancarkan oleh AS dan Israel.
Naib Presiden AS, JD Vance semasa konflik itu memberi amaran bahawa AS bersedia meningkatkan kerosakan terhadap Iran dengan senjata yang belum pernah digunakan sebelum ini, tetapi Rumah Putih menafikan beliau mengancam akan melancarkan serangan nuklear.
Dalam rundingan yang gagal, Vance telah mendesak Iran supaya membuat konsesi lebih besar terhadap program nuklearnya.
Trump memberitahu wartawan bahawa beliau mahukan Iran tanpa senjata nuklear yang akan cuba meletupkan salah sebuah bandar AS atau meletupkan seluruh Asia Barat.
Iran menafikan sedang berusaha memiliki senjata nuklear dan sebuah badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa bom atom tidak berada pada tahap hampir siap sebelum perang.
AS adalah satu-satunya negara yang pernah menggunakan senjata nuklear dalam peperangan, dengan memusnahkan bandar Hiroshima dan Nagasaki di Jepun pada akhir Perang Dunia Kedua yang mengorbankan kira-kira 214,000 orang.
Israel secara meluas diketahui memiliki senjata nuklear tetapi tidak mengakuinya secara rasmi.
Kenyataan menyeluruh Trump yang menentang sebarang penggunaan senjata nuklear dilihat bertentangan dengan doktrin nuklear lama AS. Doktrin lama itu mengekalkan hak untuk menggunakan senjata tersebut.
Trump sebelum ini juga menggesa supaya moratorium Washington terhadap ujian nuklear ditamatkan sebagai tindak balas terhadap dakwaan AS bahawa China dan Russia menjalankan ujian secara rahsia. – AFP










