Serangan Iran ke atas pesawat radar AWACS AS di Arab Saudi cetus persoalan

Serangan Iran ke atas pesawat radar AWACS AS di Arab Saudi cetus persoalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Kemusnahan sebuah pesawat Sistem Amaran dan Kawalan Terbang Tentera Udara Amerika Syarikat (E-3 Sentry AWACS) dalam serangan Iran ke atas sebuah pangkalan udara di Arab Saudi menimbulkan persoalan bagaimana aset pengawasan kritikal itu dibiarkan tanpa perlindungan.

Ia turut menimbulkan tanda tanya sejauh mana Teheran mampu melancarkan serangan langsung ke atas pesawat tersebut.

Pesawat itu merupakan satu daripada 16 unit E-3 dihasilkan pada 1960-an yang masih beroperasi dan dilengkapi peralatan pemantauan canggih membolehkan ia memberi amaran terhadap ancaman udara seperti peluru berpandu, selain mengawasi ruang medan perang yang ditugaskan termasuk komunikasi, pergerakan tentera dan peralatan serta tapak pertahanan udara.

Serangan yang memusnahkannya pada 27 Mac lalu, ketika pesawat itu diparkir di Pangkalan Udara Prince Sultan, sekali lagi menegaskan kemampuan Iran untuk menyerang dan membedil sasaran bernilai tinggi di rantau ini dengan tepat, walaupun setelah sebulan serangan udara oleh AS dan Israel.

Imej dari lokasi serangan, yang turut mencederakan anggota tentera AS dan merosakkan beberapa pesawat pengisian bahan api semasa penerbangan, menunjukkan serangan tepat ke atas kubah radar E-3 yang terletak berhampiran ekor pesawat, menandakan tahap ketepatan tinggi.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, risikan Ukraine mempunyai maklumat bahawa satelit perisik Russia telah mengambil gambar pangkalan itu tiga kali sebelum serangan, pada 20, 23 dan 25 Mac.

“Kami tahu jika mereka mengambil gambar sekali, mereka sedang membuat persiapan. Jika diambil kali kedua, ia seperti simulasi. Kali ketiga bermakna dalam satu atau dua hari, mereka akan menyerang,” kata Zelenskyy dipetik The Guardian.

Kenyataan Zelenskyy menyusuli laporan awal bulan ini bahawa Moscow memberikan risikan kepada Iran mengenai lokasi pasukan AS di Asia Barat, dakwaan yang dinafikan oleh Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov.

Pesawat E-3 itu adalah salah satu daripada enam unit yang dilaporkan dikerahkan ke pangkalan Arab Saudi tersebut. 

Pesawat yang sudah berusia lama ini telah lama menghadapi isu penyelenggaraan, menurut laman web Tentera Udara dan Angkasa AS, yang menyatakan pada 2024 kadar kesiapsiagaan misi E-3 Tentera Udara AS hanya sekitar 56 peratus, bermakna sedikit lebih separuh daripada unit itu mampu terbang dan melaksanakan misi.

Pesawat E-3 boleh mengesan sehingga 600 sasaran serentak di kawasan luas, bertindak sebagai ‘mata dan telinga’ bagi juruterbang pejuang.

“Kehilangan E-3 ini amat membimbangkan, memandangkan betapa pentingnya pengurus medan perang ini untuk segala-galanya daripada pengurusan ruang udara, mengelak pesawat bertembung, penentuan sasaran dan menyediakan kesan lain yang diperlukan seluruh pasukan dalam ruang medan perang,” kata bekas juruterbang F-16 dan Pengarah Kajian di Mitchell Institute for Aerospace Studies, Heather Penney kepada media.

Walaupun komander AS dan Israel mendakwa kemampuan Iran menembak peluru berpandu telah berkurangan, pakar menjangkakan penurunan intensiti tinggi pelancaran Teheran selepas minggu-minggu awal perang.

Ini kerana Iran mengubah tempo untuk menjimatkan peluru berpandu dan sumber ketenteraan lain. Iran juga mungkin berusaha memanjangkan tempoh perang bagi memaksimumkan kesannya ke atas ekonomi global.

Beberapa pakar berkata, Iran nampaknya menyasarkan komponen utama kuasa udara AS, termasuk sistem radar dan pesawat sokonga, sebagai sebahagian daripada kempen tindak selepas kejayaan awal AS dan Israel menguasai ruang udara Iran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN