NEW YORK: Saham di Wall Street melonjak tinggi manakala harga minyak menurun selepas Iran menyatakan negaranya mempunyai keazaman tinggi untuk menamatkan perang dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, sekali gus meningkatkan harapan terhadap penyelesaian konflik tersebut.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, dalam perbualan telefon dengan Majlis Eropah (EC) berkata, Iran mempunyai keazaman yang diperlukan untuk menamatkan konflik ini, dengan syarat syarat-syarat penting dipenuhi khususnya jaminan bagi mengelakkan pencerobohan berulang.
Kenyataan itu mencetuskan lonjakan dalam pasaran ekuiti AS, dengan indeks utama Dow Jones meningkat 2.5 peratus, atau lebih 1,125 mata, untuk ditutup pada paras 46,341.51.
“Ini adalah komunikasi konkrit pertama dari Iran yang dilihat boleh disahkan. Pasaran telah lama menunggu berita baik selepas mengalami penurunan selama lima minggu,” kata Pegawai B. Riley Wealth Management, Art Hogan.
Pasaran saham dilihat tidak terjejas oleh kenyataan susulan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menegaskan kempen ketenteraan lebih sebulan terhadap Teheran masih belum berakhir dan berikrar untuk menumpaskan rejim pengganas Iran.
Kenyataan Pezeshkian turut mempengaruhi pasaran minyak, yang menjadi pemacu utama pasaran kewangan sejak AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari.
Niaga hadapan minyak Brent susut 3.2 peratus kepada AS$103.97 (RM419.48) setong.
Malah sebelum kenyataan tersebut, saham di AS dan Eropah meningkat susulan laporan Presiden AS, Donald Trump bersedia menamatkan perang walaupun Selat Hormuz tidak dibuka semula.
Namun kebimbangan terhadap bekalan minyak terus membayangi pasaran.
Ketua sebuah kumpulan penganalisis maritim memberi amaran dalam temu bual dengan AFP bahawa Asia berdepan krisis tenaga besar, memandangkan rantau itu menerima kesan paling serius daripada konflik berkenaan.
“Kami berpendapat Asia, buat masa ini akan menjadi pihak paling terkesan,” kata Presiden Kpler, Jean Maynier di pejabat syarikat itu di Singapura.
Ketua Strategi Pelaburan Wealth Club, Susannah Streeter pula berkata, minyak masih berada pada paras yang sangat tinggi untuk ditanggung oleh ekonomi.
Sebagai petunjuk bahawa Trump berkemungkinan berdepan tekanan untuk menurunkan harga minyak mentah, Persatuan Automobil Amerika (AAA) memaklumkan harga petrol di AS melonjak melebihi purata AS$4 (RM16.13) segelen buat kali pertama sejak 2022, ketika pencerobohan Russia ke atas Ukraine bermula.
Saham di Eropah turut meningkat walaupun data menunjukkan inflasi zon euro melonjak pada Mac akibat kenaikan harga tenaga, mencapai paras tertinggi sejak Januari 2025.
Harga pengguna meningkat 2.5 peratus, naik ketara daripada 1.9 peratus pada Februari, menurut agensi statistik Kesatuan Eropah (EU).
Pasaran saham utama Asia pula ditutup bercampur.-AFP










