WASHINGTON: Empat angkasawan berlepas menaiki roket gergasi agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) pada Rabu dalam satu perjalanan yang telah lama dinantikan untuk mengelilingi Bulan.
Ia merupakan penerbangan mengelilingi Bulan yang pertama dalam tempoh lebih 50 tahun.
Roket besar yang berwarna jingga dan putih itu mengeluarkan dentuman kuat yang bergema jauh melepasi tapak pelancaran dan membawa tiga warga AS serta seorang rakyat Kanada berlepas dari Pusat Angkasa Lepas Kennedy, Florida kira-kira pukul 6.35 petang waktu tempatan.
Pasukan NASA dan sejumlah besar orang sama-sama teruja apabila melihat kapal angkasa itu naik ke langit yang cerah di atas pancaran api yang besar.
“Kita menuju ke Bulan!” jerit seorang daripada mereka.
Pasukan itu, yang memakai sut oren terang dengan jalur biru semasa berlepas, terdiri daripada rakyat Amerika Syarikat (AS) iaitu Reid Wiseman, Victor Glover dan Christina Koch, bersama warga Kanada Jeremy Hansen.
Semasa pemeriksaan terakhir sebelum Misi Artemis 2 disahkan untuk pelancaran, kesemua angkasawan menyampaikan kata-kata ringkas.
“Kami pergi untuk seluruh umat manusia,” kata angkasawan Kanada, Jeremy Hansen.
Pengarah pelancaran Artemis, Charlie Blackwell-Thompson kemudian bercakap secara langsung kepada empat angkasawan itu.
“Reid, Victor, Christina dan Jeremy. Dalam misi bersejarah ini, anda membawa bersama hati pasukan Artemis, semangat berani rakyat Amerika dan rakan-rakan kita di seluruh dunia, harapan serta impian generasi baharu. Semoga berjaya,” katanya.
“Kami mempunyai pemandangan bulan terbit yang indah. Kami sedang menuju tepat ke arahnya,” kata Wiseman, komander misi.
Tidak lama selepas pelancaran, mereka berjaya memasuki orbit Bumi, di mana mereka akan kekal sementara menjalankan pelbagai pemeriksaan untuk memastikan kebolehpercayaan dan keselamatan kapal angkasa yang belum pernah membawa manusia sebelum ini.
Jika semuanya berjalan lancar, mereka dijangka meneruskan perjalanan pada Khamis dalam satu pusingan mengelilingi Bulan, yang dijangka mengambil masa kira-kira tiga hari.
Keseluruhan perjalanan dijangka berlangsung sekitar 10 hari.
“Ini sangat menakjubkan,” kata saintis Amerika, Sian Proctor, yang pernah menyertai misi angkasa pada tahun 2021.
Penerbangan ini bertujuan membuka jalan bagi pendaratan di Bulan pada tahun 2028. – AFP










