WASHINGTON: Di sebuah stesen minyak di pinggir Washington, pemandu merasai kesan domestik perang terhadap Iran apabila kenaikan harga bahan api menekan bajet isi rumah.
Seorang penduduk, Jeanne Williams, 83, baru memandu 160 kilometer dari Richmond, Virginia, untuk melawat kakak sulungnya.
“Itu mengerikan. Saya terkejut melihat harga yang terpapar pada papan LED stesen minyak Liberty.
“Saya tidak marah. Saya hanya terkeliru, bingung dan tidak gembira. Kerana kami tidak minta perang ini,” katanya.
Williams yang juga seorang pesara perkhidmatan awam sedang menjalani rawatan kanser, menganggap pencennya cukup baik, tetapi kenaikan kos sara hidup AS memaksanya menggunakan simpanan sendiri.
“Nasib baik saya tiada anak, tiada pasangan, jadi cuma saya sendiri dan apa sahaja yang ada, saya bantu kakak saya,” katanya.
Pada Selasa, harga purata satu gelen 3.78 liter petrol biasa di Amerika Syarikat (AS) melepasi paras psikologi AS$4.00 (RM16.13), meningkat 35 peratus sejak serangan AS-Israel yang memulakan konflik, menurut data daripada kelab automotif Persatuan Automobil Amerika (AAA).
Sementara itu, seorang warga emas, Joseph Crouch, 77, berada dalam situasi sama.
“Ini tidak masuk akal. Harga terlalu tinggi. Saya rasa kerajaan tidak tahu apa yang dilakukannya.
“Kami menanggung akibat perang ini. Mereka cuba kata ini sebab lain, tapi ini memang kerana perang,” katanya sambil merungut terpaksa mengurangkan pemanduan.
Crouch, yang berjalan menggunakan tongkat, bangga memakai topi yang menandakan beliau veteran Perang Vietnam.
Seorang lagi penduduk, Fred Koester, 78, menyifatkan konflik itu sebagai ‘perang bodoh’ yang ‘sama sekali tidak perlu’.
Harga bermula pada AS$3.79 (RM16.01) per gelen jika dibayar tunai, manakala kadar lebih tinggi jika menggunakan kad debit atau kredit. Sedikit jauh di jalan itu, harga mencecah AS$4.25 (RM17.13) per gelen.
Inflasi AS telah menurun daripada paras tertinggi 9.1 peratus semasa pandemik, tetapi harga kekal tinggi dan penganalisis memberi amaran ekonomi terbesar dunia masih belum mencapai kestabilan harga.
Selama bertahun-tahun harga lebih tinggi daripada jangkaan menekan isi rumah di AS.
Ahli Ekonomi AS di Bloomberg, Eliza Winger berkata, kenaikan harga bahan api bukan sahaja menjejaskan pengguna di pam minyak, tetapi turut mengurangkan perbelanjaan keseluruhan mereka, dengan kesan berantai kepada ekonomi.
“Kami menganggarkan kenaikan 10 peratus harga minyak mengurangkan perbelanjaan sebenar pengguna kira-kira 0.2 peratus. Harga bahan api AS meningkat lebih tiga kali ganda sejak permulaan perang,” katanya.
Pada Selasa, laporan keyakinan pengguna AS menunjukkan jangkaan inflasi melonjak pada Mac ke paras tertinggi sejak tujuh bulan lalu.
Seorang penduduk New York, Luis Ramos, 26, mengakui sudah terasa tertekan dengan kos sara hidup tinggi kini.
“Ini tidak masuk akal. Melihat harga petrol melonjak, sungguh luar biasa. Kos sara hidup memang semakin meningkat,” katanya di sebuah stesen minyak di New Jersey.
Seorang lagi penduduk, David Lee, 39, di stesen minyak pinggir Washington, mengisi tangkinya dua kali seminggu.
“Saya rasa setiap kali mengisi, saya bayar sekurang-kurangnya AS$10 (RM40.30) lebih daripada biasa,” katanya.
Ahli anestesi itu berkata, pendapatannya mencukupi, tetapi ramai kawannya mengadu mereka tidak akan memandu sekerap dahulu.-AFP










