SYDNEY: Syarikat penerbangan Australia, Qantas bakal mengurangkan kapasiti penerbangan domestik dalam tempoh dua bulan akan datang.
Ia dijangka menaikkan harga tambang berikutan lonjakan harga bahan api yang mengancam keuntungan tahunan syarikat sehingga AS$500 juta (RM1.9 bilion).
Menerusi satu kenyataan pada Selasa, Kumpulan Qantas memaklumkan bahawa mereka telah mengurangkan kapasiti domestik bagi suku keempat tahun kewangan 2026 sebanyak kira-kira lima peratus.
Langkah itu diambil ekoran ketidaktentuan harga bahan api yang berterusan serta keadaan ekonomi global semasa.
Susulan penyelarasan tersebut, pelanggan-pelanggan Qantas dan Jetstar yang terjejas akan dihubungi secara terus untuk tawaran penerbangan alternatif atau pemulangan wang sepenuhnya.
Walaupun hampir 90 peratus bekalan minyak mentahnya telah dilindung nilai, margin penulenan jet yang melonjak naik tetap memberi tekanan kepada syarikat.
Qantas menganggarkan kos bahan api bagi enam bulan pertama sehingga 30 Jun ini boleh mencecah antara AS$3.1 bilion (RM12.26 bilion) hingga AS$3.3 bilion (RM13.06 bilion).
Peningkatan ini dijangka menambah beban bil bahan api syarikat antara AS$600 juta (RM2.3 bilion) hingga AS$800 juta (RM3.1 bilion) bagi separuh kedua tahun ini.
Bagaimanapun, pihak syarikat memberi jaminan bahawa mereka sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pembekal untuk memastikan bekalan bahan api kekal stabil sehingga bulan Mei.
Perunding industri penerbangan, Tony Webber, sebelum ini pernah memberi amaran bahawa pendapatan syarikat boleh merosot kepada AS$544 juta (RM2.1 bilion) sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan.
Bekas ketua pakar ekonomi Qantas itu turut menjangkakan pengurangan penerbangan domestik akan tertumpu kepada sektor jarak jauh di mana kos bahan api merangkumi peratusan kos keseluruhan yang lebih tinggi.
Dalam pada itu, Qantas menyatakan bahawa walaupun mereka tidak beroperasi di Asia Barat, terdapat permintaan tinggi bagi laluan alternatif ke Eropah.
Sebagai respons, syarikat telah mengalihkan kapasiti daripada rangkaian Amerika Syarikat (AS) dan domestik untuk meningkatkan kekerapan penerbangan ke Paris dan Rom.
Situasi ini turut memberi kesan kepada harga tiket antarabangsa. Qantas dilaporkan telah menaikkan harga tambang antarabangsa sebanyak lima peratus pada Mac lalu,.- AGENSI










