LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer berjanji untuk mencadangkan undang-undang dalam tempoh beberapa minggu bagi mengharamkan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), menurut satu laporan pada Jumaat.
Starmer membuat kenyataan itu ketika bercakap dengan akhbar Jewish Chronicle semasa lawatan pada Khamis ke sebuah rumah ibadat Yahudi di London yang menjadi sasaran serangan khianat hampir seminggu lalu.
Komitmen itu dibuat selepas Kesatuan Eropah pada Januari bersetuju untuk mengklasifikasikan IRGC sebagai organisasi pengganas susulan tindakan keras berdarah terhadap protes besar-besaran di Teheran.
“Pengharaman memerlukan undang-undang bagi membolehkan langkah-langkah perlu diambil, dan undang-undang itu sedang kami usahakan secepat mungkin,” kata Starmer apabila ditanya mengenai kemungkinan mengharamkan pasukan tersebut.
“Kami akan memasuki sesi baharu (parlimen) dalam beberapa minggu lagi dan akan membentangkan undang-undang itu,” tambahnya.
Penduduk Yahudi di barat laut London masih berada dalam keadaan berjaga-jaga tinggi selepas beberapa siri serangan khianat terhadap rumah ibadat Yahudi dan lokasi komuniti yang bermula susulan serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran sejak 28 Februari.
Starmer berkata beliau semakin bimbang terhadap negara yang menggunakan proksi untuk menjalankan aktiviti jenayah di Britain.
IRGC merupakan cabang ideologi ketenteraan Teheran dan ditubuhkan selepas Revolusi Iran bagi melindungi kepimpinan agama.
Pasukan itu juga mengawal atau memiliki syarikat-syarikat dalam pelbagai sektor ekonomi Iran, termasuk sektor strategik utama. – AFP










