LONDON: Perang di Iran dilaporkan menelan belanja kerajaan Amerika Syarikat (AS) sehingga AS$2 bilion (RM8.06 bilion) setiap hari, menurut pakar yang menjejak kesan ekonomi konflik global.
Pengarah Cost of War Project di Brown University, Stephanie Savell memberitahu BBC, berdasarkan perbelanjaan senjata dan ketenteraan, kerosakan terhadap aset AS dan perbelanjaan lain, perang itu sudah menelan kos puluhan bilion dolar untuk rakyat Amerika.
“Setiap hari perang berterusan menambah jumlah hutang awam dengan besar.
“Tahap kos ini akhirnya akan ditanggung oleh rakyat biasa Amerika. Perang ini sudah menyebabkan kesan besar kepada harga petrol. Terdapat juga kemungkinan kesan jangka panjang terhadap inflasi, ketidakpastian perniagaan, dan kos insurans,” kata Savell.
Pentagon awal bulan ini memberitahu Kongres enam hari pertama perang telah menelan belanja AS$11.3 bilion (RM45.56 bilion), lapor media AS. Savell percaya jumlah sebenar jauh lebih tinggi.
Rumah Putih juga berkata, awal bulan ini pihaknya sedang memohon tambahan AS$200 bilion (RM806.48 bilion) untuk perang di Iran, yang menurut Savell adalah jumlah yang sangat besar.
Pakar Belanjawan Pertahanan Universiti Harvard Linda Blimes berkata, perang itu dilihat sudah menelan kos sekitar AS$2 bilion (RM8.06 bilion) sehari.-AGENSI










