TOKYO: Kerajaan Jepun memulakan persiapan untuk membenarkan perkhidmatan kereta terbang komersial yang membawa penumpang berbayar seawal 2027 atau 2028.
Menurut beberapa sumber kerajaan, operasi itu dijangka bermula dengan penerbangan pelancongan di kawasan bandar, sebelum diperluas kepada perkhidmatan terus yang menghubungkan bandar dan lapangan terbang.
Pengangkutan penumpang menggunakan kereta terbang, yang dilihat sebagai revolusi sekali seabad dalam mobiliti, kini dijangka menjadi realiti lebih awal daripada jangkaan.
Kereta terbang adalah istilah umum bagi kenderaan bertenaga elektrik yang mampu berlepas dan mendarat secara menegak.
Kenderaan itu biasanya hanya memuatkan beberapa penumpang, bersifat lebih senyap dan hanya memerlukan kawasan pendaratan yang kecil, menjadikannya lebih mudah dikendalikan walauoun di kawasan bandar yang padat.
Ia dijangka membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar dan menyediakan pilihan pengangkutan baharu di kawasan luar bandar.
Permohonan dikemukakan kepada Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan untuk pensijilan jenis di bawah Undang-Undang Aeronatik Awam, proses yang diperlukan untuk pengeluaran besar-besaran pesawat dan turut melibatkan standard keselamatan serta piawaian lain.
Kerajaan berpendapat proses semakan sedang berjalan dengan cara yang membolehkan permulaan operasi komersial menjadi realistik.
Perkhidmatan komersial dijangka bermula dengan penerbangan pelancongan di kawasan bandar, khususnya di kawasan tepi air di Tokyo dan Osaka.
Dalam tempoh dua hingga tiga tahun selepas itu, skop operasi dijangka diperluas untuk merangkumi perjalanan jarak pendek antara dua lokasi serta laluan yang menghubungkan lapangan terbang utama seperti Narita dan Kansai dengan bandar berdekatan.
Persaingan di kalangan syarikat yang membangunkan kereta terbang kini semakin sengit.
Pada Expo Osaka-Kansai 2025, penerbangan demonstrasi dijalankan tanpa penumpang di atas kapal.
Di Tokyo, dua konsortium dipilih tahun lalu untuk projek pelaksanaan kereta terbang oleh kerajaan metropolitan, satu terdiri daripada sembilan syarikat termasuk Japan Airlines dan satu lagi melibatkan tujuh syarikat termasuk Nomura Real Estate Development.- AGENSI










