ROM: Itali telah menggantung perjanjian pertahanannya dengan Israel, yang melibatkan pertukaran peralatan ketenteraan dan penyelidikan teknologi, kata Perdana Menteri Giorgia Meloni serta sumber diplomatik pada Selasa.
“Berdasarkan situasi semasa, kerajaan telah memutuskan untuk menggantung pembaharuan automatik perjanjian pertahanan dengan Israel,” kata Meloni di luar satu acara di Verona, menurut agensi berita Itali ANSA dan AGI.
Satu sumber diplomatik Itali mengesahkan kepada AFP bahawa perjanjian itu telah digantung, sambil berkata: “Akan menjadi sukar dari segi politik untuk meneruskannya.”
Diluluskan oleh Israel pada tahun 2006, perjanjian itu disemak setiap lima tahun.
Ia memperuntukkan kerjasama dalam industri pertahanan, pendidikan, latihan anggota tentera, penyelidikan dan pembangunan serta teknologi maklumat..
Hubungan antara kedua-dua negara semakin tegang sejak minggu lalu selepas kerajaan Itali menuduh tentera Israel melepaskan tembakan amaran ke arah konvoi pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari Itali di Lubnan.
Itali telah memanggil duta Israel sebagai bantahan terhadap insiden itu yang merosakkan sekurang-kurangnya sebuah kenderaan, namun tidak menyebabkan kecederaan.
Pada Isnin, Israel pula memanggil duta Itali susulan kenyataan Menteri Luar Itali, Antonio Tajani yang mengecam serangan yang tidak boleh diterima terhadap orang awam Lubnan oleh tentera Israel.
Tajani, yang juga timbalan perdana menteri, berada di Beirut pada Isnin untuk mengadakan perbincangan dengan Presiden Lubnan Joseph Aoun dan Menteri Luar Youssef Raggi.
Beliau kemudian menulis di platform X bahawa beliau berada di sana untuk menyampaikan solidariti Itali susulan serangan Israel yang tidak boleh diterima terhadap penduduk awam. – AFP










