Isteri PM Sepanyol didakwa atas tuduhan rasuah - Utusan Malaysia

Isteri PM Sepanyol didakwa atas tuduhan rasuah

BEGONA Gomez (kiri) bersama suaminya, Pedro Sanchez. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Isteri Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez iaitu Begona Gomez telah didakwa secara rasmi atas tuduhan rasuah susulan siasatan jenayah yang dilakukan selama bertahun-tahun.

Keputusan mahkamah pada Isnin itu merupakan salah satu daripada beberapa kes rasuah yang melibatkan keluarga dan bekas sekutu pemimpin sosialis tersebut.

Kes itu juga meningkatkan tekanan terhadap kerajaan gabungan minoriti pimpinannya.

Siasatan terhadap Gomez bermula pada April 2024 apabila Hakim Juan Carlos Peinado memulakan prosiding bagi menentukan sama ada wanita itu mengeksploitasi kedudukannya sebagai isteri perdana menteri demi keuntungan peribadi. 

Bagaimanapun, Gomez dan Sanchez secara konsisten menafikan dakwaan berkenaan.

Kes tersebut berpusat kepada penciptaan dan pengurusan sebuah kerusi akademik di Universiti Complutense Madrid yang diselia bersama oleh Gomez. Beliau turut didakwa menggunakan sumber awam serta rangkaian peribadi untuk memajukan kepentingan pihak swasta.

Menerusi penghakiman bertarikh 11 April yang didedahkan kepada umum semalam, Hakim Peinado menyatakan bahawa siasatan mendapati terdapat petunjuk yang mencukupi mengenai tingkah laku jenayah oleh Gomez, 55.

Gomez menghadapi empat pertuduhan rasmi iaitu pecah amanah, penjualan pengaruh, rasuah dalam urusan perniagaan dan salah guna dana.

Dalam penghakimannya, hakim tersebut menyifatkan jawatan akademik tersebut telah digunakan sebagai wadah pembangunan profesional peribadi bagi pihak yang disiasat. Pihak mahkamah kini perlu memutuskan sama ada Gomez akan dihadapkan ke perbicaraan penuh.

Gomez, yang kini sedang dalam lawatan rasmi ke China bersama suaminya, tetap mempertahankan bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan. Perdana Menteri itu pula menyifatkan tuduhan terhadap isterinya sebagai cubaan sayap kanan untuk menjatuhkan kerajaan beliau.

Susulan perkembangan terbaharu itu, parti-parti pembangkang telah mendesak Sanchez agar meletakkan jawatan. Kes ini dilaporkan bermula daripada aduan yang difailkan oleh sebuah kumpulan antirasuah yang mempunyai kaitan dengan sayap kanan.

Selain Gomez, ahli keluarga Sanchez yang lain turut terpalit dengan isu undang-undang. 

Adik lelaki perdana menteri, David Sanchez, telah didakwa dalam siasatan berasingan berkaitan penjualan pengaruh. Bekas orang kanan Sanchez dan bekas Menteri Pengangkutan, Jose Luis Abalos, mula dibicarakan bulan ini atas dakwaan menerima sogokan berkaitan kontrak awam. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN