TEHERAN: Iran pada hari Sabtu melaksanakan hukuman mati terhadap seorang lelaki kerana menjalankan misi bagi pihak agensi perisikan Israel, Mossad ketika protes besar-besaran pada Januari, menurut badan kehakiman.
Ini merupakan yang terbaharu dalam siri hukuman mati sejak perang tercetus dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Erfan Kiani dihukum gantung sampai mati selepas hukumannya disahkan oleh Mahkamah Agung negara itu, lapor laman web badan kehakiman, Mizan Online.
Beliau digambarkan sebagai antara pengendali utama dalam satu misi yang ditugaskan oleh Mossad semasa rusuhan di wilayah tengah Isfahan.
Badan kehakiman menuduhnya melakukan kemusnahan harta awam dan persendirian, membakar, memiliki serta menggunakan bom botol, membawa senjata tajam, menghalang laluan kenderaan, menyerang pegawai selain menimbulkan ketakutan termasuk panik dalam kalangan orang awam.
Pelaksanaan hukuman ini menyusuli hukuman gantung pada Khamis terhadap seorang lagi lelaki di Iran yang disabitkan dengan keanggotaan dalam kumpulan pembangkang yang diharamkan.
Iran dalam beberapa minggu kebelakangan ini telah meningkatkan pelaksanaan hukuman mati sejak perang dengan Israel dan Amerika yang bermula pada 28 Februari.
Pihak berkuasa berkata, protes pada Januari didalangi oleh Israel, AS dan kumpulan pembangkang termasuk People’s Mujahedin.
Sejak 19 Mac, pihak berkuasa Iran telah melaksanakan hukuman mati terhadap sembilan lelaki atas tuduhan berkaitan protes tersebut.
Iran merupakan negara kedua tertinggi di dunia dalam pelaksanaan hukuman mati selepas China, menurut kumpulan hak asasi termasuk Amnesty International. – AFP










