Indonesia kurangkan program makanan percuma - Utusan Malaysia

Indonesia kurangkan program makanan percuma

PELAJAR menikmati makanan yang disediakan di bawah program makanan percuma kerajaan Indonesia di sebuah sekolah rendah di Darul Kamal, Aceh.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Indonesia akan membuat pengurangan dalam program makanan percuma sekolah bermula semalam bagi menampung tekanan bajet akibat perang di Asia Barat dan kenaikan harga minyak.

Program itu yang turut memberi makan secara percuma kepada ibu hamil dan menyusukan anak  menelan kos hampir satu persepuluh daripada bajet tahunan dan merupakan projek utama Presiden, Prabowo Subianto.

Dalam mesyuarat Kabinet hujung minggu lalu, Prabowo dan para menteri memutuskan untuk menurunkan kekerapan program ini daripada enam hari seminggu kepada lima hari di sekolah rendah dan menengah bermula Selasa.

Namun. di kawasan dengan kadar kekurangan zat makanan yang tinggi, makanan akan terus disediakan pada  Sabtu, apabila banyak sekolah di Indonesia masih dibuka.

“Langkah ini dijangka menjimatkan sekitar 40 trilion rupiah (RM9.29 bilion). Pemotongan ini mungkin dikaji semula jika keadaan berubah,” kata Timbalan Ketua Agensi Pemakanan Nasional, Nanik Sudaryati Deyang kepada AFP.

Dilancarkan pada Januari 2025, inisiatif ini dipromosikan kerajaan sebagai langkah menangani krisis malnutrisi dan bantut di negara dengan populasi 284 juta orang. 

Program ini menyasarkan untuk memberi makan kepada 83 juta orang pada akhirnya, tetapi mendapat perhatian selepas ribuan penerima mengalami keracunan makanan.

Kerajaan Indonesia juga sedang menimbang langkah untuk mengurangkan penggunaan bahan api kerana perang di Asia Barat mengganggu bekalan tenaga global.

Negara ini menghasilkan minyak mentah tetapi merupakan pengimport bersih komoditi tersebut. Ia menanggung subsidi besar untuk bahan api dan gas asli bagi pengguna domestik. Kos subsidi tahun 2026 sebanyak AS$12.3 bilion (RM49.69 bilion), iaitu kira-kira lima peratus daripada jumlah bajet tahunan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN