Gencatan senjata AS-Iran retak - Utusan Malaysia

Gencatan senjata AS-Iran retak

BEBERAPA penduduk Iran mengibarkan bendera Iran di Teheran, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON/TEHERAN/BEIRUT: Gencatan senjata yang rapuh antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) memasuki hari kedua pada Khamis, dengan Teheran mengancam untuk menyambung semula permusuhan ketika Israel melancarkan pengeboman besar-besaran ke atas Lubnan.

Washington dan Teheran masing-masing mendakwa kemenangan selepas bersetuju dengan gencatan senjata selama dua minggu dan rundingan bertujuan menamatkan perang yang telah mengorbankan ribuan nyawa di seluruh Asia Barat serta mencetuskan kegawatan ekonomi global.

Namun, keretakan dalam perjanjian itu mula kelihatan dengan cepat pada Rabu apabila Israel melancarkan serangan paling hebat ke atas negara jiran Lubnan termasuk di kawasan padat penduduk di pusat Beirut, sejak kumpulan yang disokong Iran, Hizbollah, menyertai perang pada awal Mac.

Sekurang-kurangnya 182 orang terbunuh dan hampir 900 cedera pada Rabu, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.

Israel menyatakan bahawa pertempurannya menentang Hizbollah bukan sebahagian daripada gencatan senjata AS-Iran dipersetujui lewat Selasa. Hujah itu turut diulangi oleh Naib Presiden AS, JD Vance, beberapa hari sebelum beliau dijadual mengetuai rundingan dengan Teheran di Pakistan.

“Jika Iran mahu membiarkan rundingan ini gagal disebabkan Lubnan, yang tiada kaitan dengan mereka dan Amerika tidak pernah sekali pun menyatakan sebagai sebahagian daripada gencatan senjata, itu akhirnya pilihan mereka,” katanya.

Namun, Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, dilihat mengancam gencatan senjata itu apabila menulis di platform X bahawa asas yang boleh dilaksanakan untuk berunding telah pun dicabuli, menjadikan rundingan lanjut sebagai tidak munasabah.

Ghalibaf menyenaraikan tiga dakwaan pelanggaran AS terhadap pelan gencatan senjata itu.

Tiga dakwaan itu ialah  serangan berterusan di Lubnan, sebuah dron yang memasuki ruang udara Iran dan penafian hak negara itu terhadap pengayaan uranium.

Menambahkan lagi kerapuhan gencatan senjata,  seorang pegawai kanan AS berkata, pelan 10 perkara Iran bukanlah set syarat yang sama seperti dipersetujui oleh Rumah Putih untuk menghentikan sementara perang tersebut.

Sementara itu, di Lubnan, di mana ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk menyifatkan skala pembunuhan tersebut sebagai mengerikan, serangan di seluruh ibu kota Beirut tanpa amaran mencetuskan suasana ngeri dan panik.

“Orang ramai mula berlari ke kiri dan kanan dan asap berkepul-kepul,” kata Ali Younes yang sedang menunggu isterinya berhampiran Corniche al-Mazraa, salah satu kawasan yang menjadi sasaran.

Lebih 1,700 orang telah terbunuh di Lubnan sejak Israel melancarkan serangan udara dan pencerobohan darat bulan lalu, kata pegawai tempatan.

Pasukan Pengawal Revolusi Iran memberi amaran bahawa mereka akan menunaikan tanggungjawab dan memberikan tindak balas jika Israel tidak menghentikan serangannya, manakala Hizbollah berkata, ia mempunyai hak untuk bertindak balas.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, negara itu kekal bersedia untuk berdepan Iran jika perlu, kerana masih mempunyai objektif yang perlu diselesaikan dengan pihak tentera menyatakan ia terus mengejar matlamat untuk melucutkan senjata Hizbollah di Lubnan.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth turut berikrar bahawa tentera Amerika kekal bersiap sedia sekiranya konflik tercetus semula.

Retorik yang berbaur ancaman itu muncul menjelang rundingan berisiko tinggi di Pakistan yang dijangka berlangsung pada Jumaat atau Sabtu. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN