WASHINGTON: Kebimbangan semakin meningkat terhadap gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran mungkin tidak dapat bertahan selepas Washington pada Ahad merampas sebuah kapal kargo Iran yang cuba melepasi sekatan laut, dengan Teheran berikrar untuk bertindak balas.
Perkembangan itu menyebabkan timbul persoalan terhadap usaha membina keamanan yang berkekalan di Asia Barat, apabila Iran memaklumkan tidak akan menyertai pusingan kedua rundingan di Pakistan yang diharapkan AS dapat dimulakan sebelum gencatan senjata tamat minggu ini.
Seorang jurucakap Iran memberi amaran angkatan bersenjata republik itu akan bertindak balas terhadap tindakan yang disifatkannya sebagai ‘lanun bersenjata’ oleh tentera AS.
Kenyataan tersebut mencetuskan lonjakan harga minyak dunia dan pembukaan pasaran saham yang tidak menentu pada awal dagangan semalam.
SERANGAN DRON IRAN
Pasukan Iran pada Ahad melancarkan serangan dron terhadap beberapa kapal AS selepas tenteranya melepaskan tembakan dan merampas sebuah kapal kargo berbendera Iran di Teluk Oman, menurut media Iran dan pegawai Amerika.
Ia berlaku selepas tentera AS menembak dan menyebabkan dinding enjin kapal kontena Touska milik Iran berlubang sebelum merampasnya.
Laporan itu bagaimanapun tidak menyatakan sama ada sasaran Iran tersebut adalah kapal tentera atau komersial.
Iran sebelum ini mengesahkan tentera AS merampas kapal kontena Touska dan memberi amaran akan bertindak balas dan menyifatkan tindakan itu sebagai pelanggaran gencatan senjata dua minggu yang diusahakan Pakistan, sebahagian besarnya kekal sejak diumumkan pada 7 April.
Agensi berita Fars melaporkan, Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya berkata, tentera AS menyasarkan kapal itu, melumpuhkan sistem navigasinya dan menaikinya selepas apa yang disifatkan sebagai pelanggaran gencatan senjata.
Gencatan senjata selama dua minggu itu berkuatkuasa pada 8 April dan berakhir esok selepas AS dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari lalu selepas rundingan nuklear diadakan antara Washington dengan Teheran di Geneva, Switzerland.
Data penjejakan kapal menunjukkan Touska berlepas dari Pelabuhan Klang, Malaysia, pada 12 April.
Jurucakap tentera Iran, Ebrahim Zolfaghari berkata, tentera AS melepaskan tembakan ke arah kapal tersebut sebelum menaikinya.
Insiden itu pertama kali diumumkan oleh Presiden AS, Donald Trump, pada Ahad dan kemudian disahkan oleh Markas Pusat AS (CENTCOM), yang berkata, kapal pemusnah USS Spruance memintas kapal kargo berbendera Iran itu selepas ia cuba melanggar sekatan laut AS di Teluk Oman.
Menurut CENTCOM, pasukan Marin masih menahan kapal tersebut. Dalam kenyataan itu, CENTCOM memaklumkan kapal berkenaan dipercayai dalam perjalanan menuju ke pelabuhan Bandar Abbas, Iran.
“AS yang agresif, dengan melanggar gencatan senjata dan bertindak lanun maritim, menyerang salah sebuah kapal Iran selepas melumpuhkan sistem navigasinya,” kata Zolfaghari.
“Kami memberi amaran angkatan tentera Iran akan segera bertindak balas dan membalas tindakan lanun bersenjata oleh tentera AS ini,” tambahnya.
TOLAK RUNDINGAN
Iran dilaporkan tidak merancang untuk menghadiri rundingan dengan AS ketika ini, selepas Trump mengarahkan perunding AS ke Pakistan pada Isnin, hanya beberapa hari sebelum gencatan senjata dua minggu itu tamat esok.
Sekatan berterusan AS terhadap pelabuhan Iran dilaporkan menjadi isu utama yang menghalang kemajuan rundingan dan keadaan itu bertambah rumit selepas sebuah kapal pemusnah AS pada Ahad melepaskan tembakan dan merampas sebuah kapal Iran yang cuba mengelak sekatan tersebut.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata: “Kami tidak mempunyai sebarang rancangan untuk pusingan rundingan seterusnya dan tiada keputusan dibuat mengenai perkara itu.
“Walaupun mendakwa diplomasi dan kesediaan untuk berunding, AS sedang melakukan tindakan yang sama sekali tidak menunjukkan kesungguhan untuk meneruskan proses diplomatik,” tambah beliau dan menyifatkan sekatan AS dan perampasan kapal kargo sebagai pelanggaran jelas terhadap gencatan senjata.
Setakat ini, sesi rundingan selama dua hari diadakan di Islamabad pada 11 dan 12 April, namun pertemuan itu berakhir tanpa sebarang keputusan muktamad.
Walaupun begitu, usaha untuk merangka rundingan baharu masih diteruskan selepas itu.
“Kami menawarkan satu perjanjian yang sangat adil dan munasabah, dan saya harap mereka menerimanya,” kata Trump dalam hantaran pada Ahad, sambil turut memperbaharui ancaman terhadap infrastruktur Iran jika perjanjian tidak dicapai.
Dalam perang itu, lebih 3,400 nyawa di republik Islam itu yang terbunuh akibat perang tersebut. Menurut Al Jazeera, seramai 26 orang di Israel dan 13 askar AS manakala 28 lagi di Teluk maut dalam perang itu.










