TEGUCIGALPA: Bekas Presiden Honduras, Juan Orlando Hernandez yang diberikan pengampunan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tahun lalu kini telah dibebaskan daripada sabitan berkaitan pengedaran dadah oleh mahkamah rayuan AS, menurut isterinya pada Rabu.
Hernandez, yang memegang jawatan presiden dari 2014 hingga 2022, disabitkan pada 2024 atas dakwaan membantu menyeludup ratusan tan dadah ke AS dan dijatuhi hukuman penjara 45 tahun.
Pada November tahun lalu, Trump memberikan pengampunan kepada Hernandez menjelang pilihan raya di Honduras, yang akhirnya dimenangi oleh calon disokong Trump, Nasry Asfura, daripada parti sayap kanan Hernandez.
Ana Garcia, isteri Hernandez, memberitahu wartawan di ibu negara Tegucigalpa bahawa mahkamah rayuan AS telah membatalkan sabitan suaminya dan menolak semua pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.
Namun, AFP tidak dapat mengesahkan keputusan mahkamah itu pada lewat Rabu.
Walaupun pengampunan Presiden AS telah membebaskan Hernandez daripada penjara dan menghapuskan hukuman undang-undang yang dihadapinya, ia tidak memadamkan rekod sabitan terhadap beliau.
Dalam penampilan dalam talian dari sebuah bandar di Amerika yang tidak didedahkan, Hernandez menyatakan bahawa sistem keadilan AS kini telah menegakkan keadilan buat dirinya. – AFP










