BEIRUT/TEHERAN/LONDON: Dua penganalisis berpendapat pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump silap percaturan dalam merancang strategi perangnya dengan Iran kerana berpegang pada tanggapan salah tentang pemimpin dan rakyat negara itu.
AS dan Israel beranggapan pembunuhan Pemimpin Tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei pada hari pertama perang, 28 Februari lalu dan serangan udara berterusan terhadap sasaran awam mampu mempengaruhi rakyat Iran sendiri untuk menumbangkan pentadbiran republik Islam itu atau memaksa kerajaan menyerah.
Sebaliknya, rakyat Iran bersatu menyokong kerajaan dan barisan pentadbiran baharu, malah turun ke jalan raya setiap malam bagi mempamerkan sokongan mereka meskipun diserang berterusan oleh tentera AS serta Israel.
Pegawai-pegawai tinggi Iran juga enggan tunduk dan menyatakan akan terus melaksanakan tanggungjawab mereka dan rela berkorban demi negara.
IRAN DIREMEH
Dalam 40 hari terakhir sebelum gencatan senjata selama dua minggu bermula Selasa, beberapa pegawai tinggi, termasuk Ketua Keselamatan Iran, Ali Larijani terbunuh. Namun, setiap kematian diganti dengan pegawai baharu dengan tekad dan semangat yang sama, lapor The Tehran Times.
Penganalisis berkata, pentadbiran Trump turut meremehkan kekuatan ketenteraan Iran. Laporan menyebut sekurang-kurangnya 70 peratus pangkalan tentera AS di Asia Barat kini musnah.
Dalam perang itu, harga tenaga meningkat secara mendadak akibat keadaan di Selat Hormuz dan impak ekonomi global dijangka berterusan walaupun perang ditamatkan.
Iran menyatakan mereka bersedia menyambung perang sepenuhnya terhadap kepentingan AS dan Israel jika mendapati Washington tidak serius dalam diplomasi.
Dalam satu kenyataan, Markas Pusat Khatam al-Anbiya yang mengawasi perang berkata, pihaknya akan menunggu hasil rundingan di Pakistan yang bermula hari ini tetapi menyatakan, ia sentiasa bersedia untuk bertindak.
ISRAEL
Media Israel melaporkan negara itu tidak berpuas hati dengan gencatan senjata dan prospek perjanjian. Tindakan Israel disahkan dengan serangan ke atas kilang minyak di Pulau Lavan pada Rabu pagi, yang dibalas Iran dengan menyerang tapak tenaga berkaitan AS di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait.
Israel juga melancarkan salah satu serangan paling maut terhadap Lubnan selepas gencatan senjata diumumkan, mengorbankan dan mencederakan ratusan penduduk di Beirut. Sumber agensi berita Fars melaporkan, Iran sedang bersiap untuk membalas serangan itu.
MENANG
Republik Islam mengisytiharkan kemenangan dan menyatakan dalam satu kenyataan, yang dikeluarkan beserta senarai 10 perkara yang diterbitkan oleh media milik negara itu. Pelan itu ialah Kawalan berterusan Iran ke atas Selat Hormuz, penerimaan pengayaan uranium dan penghapusan semua sekatan utama dan sekunder.
Antara tuntutan utama lain dalam pelan itu, yang disampaikan melalui perantara di Pakistan, termasuk pengunduran tentera AS dari Asia Barat, penghentian serangan terhadap Iran dan sekutunya,
Pembebasan aset Iran yang dibekukan dan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menjadikan sebahagian daripada perjanjian itu.
Presiden Massoud Pezeshkian menggambarkan gencatan senjata itu sebagai pencapaian semua rakyatnya dengan merujuk kepada Khamenei, yang terbunuh pada awal konflik.
Beberapa ahli parlimen menilai perkembangan itu sebagai kejayaan strategik. Ketua Jawatankuasa Keselamatan Nasional dan Dasar Luar Parlimen, Ebrahim Azizi berkata, gencatan senjata itu mencerminkan kemenangan Republik Islam dan penyerahan musuh.
Seorang pakar Asia Barat, Fawas Gerges yang merupakan seorang ahli akademik Amerika dan bekas pengarah di London School of Economis and Politicak Science berkata, di dalam negara, kepimpinan Iran tetap teguh walaupun ekonomi negara itu berada dalam keadaan huru-hara manakala sebahagian besar infrastruktur musnah akibat bom AS serta Israel.
“Apakah yang benar-benar dicapai oleh perang AS–Israel? Perubahan rejim di Teheran? Tidak. Penyerahan Republik Islam? Tidak. Pengawalan simpanan uranium diperkaya tinggi Iran? Tidak. Penghentian sokongan Teheran terhadap sekutu serantau mereka? Tidak,” katanya.
“Perang ini akan diingati sebagai kesilapan strategik besar Trump. Kesannya telah membentuk semula rantau ini dengan cara yang tidak dijangka,” ujarnya.
Menurut Pengarah Program Keselamatan Antarabangsa, Institut Diraja Hal Ehwal Antarabangsa di London, Dr. Marion Messmer. AS telah melakukan beberapa kesilapan strategik yang serius.
“Ia terlalu tinggi menilai peranan kuasa udara dalam keupayaannya untuk membawa perubahan rejim dan menentukan hasil konflik, selain memandang rendah ketahanan organisasi serta ketenteraan Iran.,” katanya.
Menurut Al-Jazeera, sekurang‑kurangnya 2,076 orang terbunuh di Iran akibat serangan AS‑Israel sejak perang bermula, menurut Kementerian Kesihatan Iran.
Sekurang‑kurangnya 26 orang terkorban di Israel, 13 askar AS turut terbunuh dalam serangan balas di beberapa negara Teluk dan pangkalan.
Seramai 28 orang dilaporkan terbunuh di negara‑negara Teluk yang turut menjadi sasaran serangan. – AGENSI










