BEIRUT: Kumpulan pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) memberi amaran serangan oleh Israel dan Hizbollah berhampiran kedudukannya berpotensi mencetuskan tembakan balas.
Dalam satu kenyataan, UNIFIL menyatakan kebimbangan terhadap serangan dari kedua-dua pihak yang dilancarkan berhampiran posisi pasukan itu. Ia boleh mengundang tembakan balas dan kekacauan.
Ia menggesa semua pihak supaya meletakkan senjata dan berusaha mencapai gencatan senjata.
Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan seramai 1,461 orang terbunuh dan 4,430 cedera sejak perang bermula 2 Mac lalu. Ia termasuk 1,235 lelaki, 97 wanita dan 129 kanak-kanak. Angka korban turut merangkumi 54 petugas kesihatan.
Serangan Israel ke atas Lubnan pada Ahad mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang dan mencederakan 39 yang lain. Bedilan di bandar selatan Kfar Hatta, jauh dari sempadan Israel, membunuh tujuh orang termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.
Satu serangan lain di Beirut turut mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang dan mencederakan 52 di kawasan Jnah. Sementara itu, di Ain Saadeh, tiga orang dilaporkan terbunuh dan tiga yang lain cedera.
Pihak UNIFIL memaklumkan tiga anggota pengamannya terbunuh. Tentera Lubnan berkata, seramai 10 anggotanya maut, termasuk sembilan tidak bertugas dan seorang yang sedang bertugas.
Tentera rejim pula melaporkan serangan menyebabkan 19 orang awam Israel maut termasuk empat kanak-kanak, seorang penjaga warga Filipina dan seorang rakyat Thailand.
Dua orang awam terbunuh di utara Israel akibat roket Hizbollah. Seorang lelaki maut berhampiran sempadan Lubnan akibat tembakan artileri Israel yang dikaitkan dengan ‘kesilapan operasi’.
Menurut perkhidmatan kecemasan Magen David Adom, lebih 540 orang cedera akibat serangan Iran atau Hizbollah sejak perang bermula. Tentera Israel dan pasukan perubatan menyatakan sebuah peluru berpandu dari Iran mengenai bangunan kediaman di bandar Haifa, mencederakan empat orang.
Pasukan keselamatan Israel turut mengehadkan akses ke Gereja Sepulchre. Gereja itu sering dilawati penganut Kristian dengan lorong-lorong Kota Lama Baitulmuqaddis yang biasanya sibuk, kelihatan sunyi pada Hari Easter, apabila sambutan itu dibayangi peperangan . – AFP










