KENT: Wabak penyakit meningitis yang telah meragut dua nyawa kini dilaporkan merebak ke universiti kedua di Kent, ketika pegawai kesihatan bertungkus-lumus mengekang penularan jangkitan paling buruk di Britain dalam tempoh satu generasi.
Universiti Canterbury Christ Church mendedahkan Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) telah mengesahkan satu kes meningitis melibatkan salah seorang pelajarnya.
Pihak universiti memaklumkan sejumlah kecil kontak rapat pelajar terbabit telah diarahkan untuk mengambil antibiotik sebagai langkah pencegahan.
Pegawai kesihatan mengesahkan kes terbaharu ini mempunyai kaitan dengan kluster awal yang berpunca daripada acara di kelab malam Club Chemistry di Canterbury pada 5, 6, dan 7 Mac lalu.
Sekurang-kurangnya 10 individu telah didiagnosis dengan penyakit itu selepas mengunjungi premis berkenaan pada tarikh tersebut.
Ibu kepada pelajar terbabit, Candice Skinner, mengesahkan anaknya, Tara, 20, kini sedang dirawat di hospital selepas mengalami simptom mata merah dan rasa tidak sihat beberapa hari selepas mengunjungi kelab malam itu.
Sehingga kini, seorang pelajar dari Universiti Kent dan seorang pelajar berusia 18 tahun dari Queen Elizabeth’s Grammar School di Faversham dilaporkan telah meninggal dunia akibat penyakit tersebut.
Selain itu, lima sekolah lain di Broadstairs, Canterbury, dan Ashford turut mengesahkan penemuan kes positif.
Jumlah keseluruhan kes yang dikaitkan dengan wabak di Kent ini telah meningkat kepada 20 kes hari ini, berbanding 15 semalam, selepas UKHSA mengisytiharkannya sebagai insiden nasional.
Daripada jumlah tersebut, enam kes telah disahkan sebagai jenis Meningitis B.
Persatuan Farmasi Kebangsaan mendedahkan bahawa stok vaksin Meningitis B untuk pembelian peribadi kini telah habis sepenuhnya.
UKHSA turut mengeluarkan amaran kepada seluruh kakitangan NHS di England mengenai tanda-tanda dan simptom meningitis yang perlu diperhatikan bagi mengelakkan penularan yang lebih meluas. -AGENSI









