WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan pihak berkuasa sementara Venezuela bersetuju untuk memulihkan semula hubungan diplomatik dan konsular, beberapa bulan selepas penyingkiran pemimpinnya, Nicolas Maduro dalam serbuan ketenteraan pada Januari lalu.
Jabatan Negara AS memaklumkan, perjanjian itu bertujuan memudahkan usaha bersama bagi menggalakkan kestabilan, menyokong pemulihan ekonomi dan memajukan proses perdamaian politik di Venezuela.
“Penglibatan kami tertumpu kepada membantu rakyat Venezuela bergerak ke hadapan melalui proses berperingkat yang mewujudkan syarat bagi peralihan aman kepada kerajaan yang dipilih secara demokratik,” kata Jabatan Negara itu dalam kenyataan kelmarin.
Pengumuman itu mengesahkan pemulihan hubungan diplomatik dan konsular antara kedua-dua kerajaan, namun Jabatan Negara AS tidak menyatakan bila operasi kedutaan atau perkhidmatan visa akan disambung semula.
Kenyataan itu juga tidak menyentuh mengenai kemungkinan perubahan sekatan ekonomi, langkah kerjasama dalam hal migrasi atau keselamatan, atau memberikan butiran lanjut mengenai bentuk penglibatan diplomatik pada masa hadapan.
Langkah itu dibuat selepas penglibatan AS selama berbulan-bulan di Venezuela.
Setiausaha Dalam Negeri AS, Doug Burgum, melakukan lawatan dua hari ke Caracas pada 4 Mac dan mengadakan pertemuan dengan Presiden sementara Venezuela, Delcy Rodriguez, menurut pegawai AS dan Venezuela.
Burgum membincangkan peluang berkaitan perlombongan dan rantaian bekalan mineral kritikal, serta berkata kerajaan sementara Venezuela menawarkan jaminan keselamatan kepada syarikat perlombongan asing yang berminat untuk melabur di negara itu.
Lawatan itu berlangsung selepas pasukan tentera AS menangkap Maduro, pada 3 Januari lalu di Caracas. – AGENSI










