DOHA: Kesemua tujuh orang di dalam sebuah helikopter tentera Qatar, termasuk tiga warga Turkiye terkorban dalam satu nahas di perairan wilayah negara Teluk itu, lapor pihak berkuasa.
Kementerian pertahanan Qatar dan Turkiye pada Ahad menyatakan helikopter tersebut terhempas selepas mengalami kerosakan teknikal semasa tugasan rutin.
Empat daripada mangsa yang maut merupakan anggota angkatan tentera Qatar, seorang daripada pasukan gabungan Qatar-Turkiye dan dua lagi adalah juruteknik, menurut kementerian pertahanan Turkiye dan Qatar.
Menurut Kementerian Pertahanan Qatar, mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai juruterbang, Kapten Mubarak Salem Daway al-Marri; Sarjan Fahad Hadi Ghanem al-Khayarin; Korporal Mohammed Maher Mohammed dan Kapten Saeed Nasser Samekh yang kesemuanya daripada Angkatan Tentera Qatar.
Mejar Sinan Tastekin dari Pasukan Gabungan Qatar-Turkiye serta kolaborator awam Turkiye, Suleiman Cemra Kahraman dan Ismail Anas Can turut terkorban.
Kementerian itu menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.
Kementerian Pertahanan Nasional Turkiye dalam satu kenyataan berkata, salah seorang askarnya dan dua kakitangan daripada firma pertahanan Turkiye, Aselsan terbunuh dalam nahas helikopter tersebut, sambil menambah pesawat itu terhempas akibat masalah teknikal semasa penerbangan latihan.
Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa Qatar akan menjalankan pemeriksaan bagi menentukan punca sebenar nahas tersebut.
Lapor Al Jazeeraa, tiada maklumat segera tersedia mengenai punca selain kerosakan teknikal dan tiada sebarang petunjuk nahas itu adalah hasil daripada tindakan musuh.
Qatar berdepan serangan berulang kali sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari, dengan negara Teluk itu memintas beratus-ratus dron dan peluru berpandu Iran.
Awal minggu ini, serangan Iran ke atas Bandar Industri Ras Laffan, kemudahan gas asli utama Qatar, telah menyebabkan kerosakan ketara.
“Serangan Iran melumpuhkan 17 peratus daripada kapasiti eksport gas asli cecair (LNG) Qatar, menyebabkan anggaran kerugian hasil tahunan sebanyak AS$20 billion (RM78.77 billion), kata CEO QatarEnergy, Saad al-Kaabi merangkap menteri negara bagi hal ehwal tenaga kepada agensi berita Reuters pada Khamis.
Beliau menyatakan dua daripada 14 rantaian pengeluaran LNG Qatar dan satu daripada dua kemudahan gas-ke-cecair (GTL) miliknya telah rosak dalam serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.











