Trump nafi penglibatan AS dalam serangan Israel ke atas medan gas utama Iran

Trump nafi penglibatan AS dalam serangan Israel ke atas medan gas utama Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menafikan penglibatan negaranya dalam serangan Israel ke atas medan gas utama Iran, South Pars ketika konflik serantau menunjukkan tanda-tanda semakin meluas ke sektor tenaga.

Trump menegaskan AS tidak mengetahui mengenai serangan ke atas kemudahan gas luar pesisir di wilayah Bushehr pada Rabu itu, sambil mendakwa sekutunya, Israel yang bertindak secara agresif terhadap sasaran berkenaan.

Beliau memberi bayangan serangan seumpama itu tidak akan berulang sekiranya Teheran tidak menyerang Qatar. Dalam masa sama, beliau memberi amaran keras bahawa AS akan bertindak balas besar-besaran jika Iran menyerang negara Teluk itu.

Trump menegaskan Qatar tidak terlibat langsung dalam serangan tersebut dan tidak mempunyai sebarang pengetahuan awal mengenainya.

Kemudahan eksport gas asli cecair (LNG) Qatar di Bandar Perindustrian Ras Laffan mengalami kerosakan besar akibat serangan balas peluru berpandu Iran, manakala Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggantung operasi kemudahan gas Habshan dan medan minyak Bab susulan serangan peluru berpandu.

“Tiada lagi serangan akan dilakukan oleh Israel berkaitan medan South Pars yang sangat penting dan bernilai ini.

“Melainkan Iran secara tidak bijak memutuskan untuk menyerang negara yang sangat tidak bersalah dalam kes ini iaitu Qatar, AS dengan atau tanpa bantuan atau persetujuan Israel akan memusnahkan sepenuhnya keseluruhan Medan Gas South Pars dengan kekuatan dan kuasa yang belum pernah dilihat atau disaksikan oleh Iran sebelum ini.

“AS tidak mengetahui apa-apa mengenai serangan khusus ini dan negara Qatar sama sekali tidak terlibat dalam apa jua bentuk, serta tidak mempunyai sebarang pengetahuan bahawa ia akan berlaku,” kata Trump.

Terdahulu pada Rabu, The Wall Street Journal melaporkan bahawa Trump telah meluluskan rancangan Israel untuk menyerang South Pars, sektor Iran bagi deposit gas asli terbesar dunia yang dikongsi dengan Qatar.

“Trump yang mengetahui lebih awal tentang serangan Israel ke atas South Pars, menyokongnya sebagai mesej kepada Teheran berhubung sekatan Selat Hormuz.

“Presiden percaya Iran telah menerima mesej tersebut dan kini menentang serangan ke atas infrastruktur tenaga Iran,” lapor akhbar itu memetik pegawai AS.

Wartawan Al Jazeera, Rosiland Jordan, yang melaporkan dari Washington berkata, serangan ke atas medan gas itu yang merupakan salah satu enjin ekonomi utama Iran menimbulkan persoalan serius mengenai tahap pengetahuan sebenar AS terhadap operasi tersebut.

Serangan ke atas South Pars menandakan kali pertama dalam konflik semasa tapak yang berkaitan secara langsung dengan pengeluaran bahan api fosil menjadi sasaran, berbanding infrastruktur minyak dan gas secara lebih umum sebelum ini.

Penganalisis sebelum ini mencadangkan kemudahan seperti ini dielakkan daripada diserang bagi mengurangkan risiko serangan balas terhadap kemudahan serupa di seluruh rantau itu.

Peningkatan ketegangan terbaharu ini mencetuskan kebimbangan konflik kini meluas ke sektor tenaga, dengan potensi kesan ekonomi yang besar di peringkat global.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN