WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Ahad mengumumkan bahawa pasukan tentera AS telah memusnahkan dan mengaramkan sembilan kapal tentera laut Iran, termasuk beberapa kapal yang disifatkan beliau sebagai agak besar dan penting.
“Kami sedang memburu saki-baki yang lain, tidak lama lagi mereka (askar-askar Iran)juga akan ‘terapung’ di dasar laut!” tulis Trump di platform media sosial miliknya, Truth Social.
Dalam satu serangan berasingan, Trump mendakwa ibu pejabat tentera laut Iran telah hampir musnah sepenuhnya.
Terdahulu pada Ahad, Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) mengesahkan bahawa tentera Amerika telah menyerang sebuah kapal korvet milik Iran di Teluk Oman.
“Kapal tersebut kini sedang karam ke dasar Teluk Oman di jeti Chah Bahar,” jelas agensi itu menerusi platform X.
Pihak berkuasa AS turut mengarahkan agar kapal dikosongkan selain menyampaikan gesaan Trump agar angkatan tentera Iran, Pasukan Pengawal Revolusi Islam dan pihak polis untuk meletakkan senjata.
Setakat ini, pihak Iran masih belum mengesahkan sebarang serangan tersebut.
Pengumuman ini dibuat ketika serangan bersama AS-Israel ke atas Iran memasuki hari kedua. Operasi bersama yang dilancarkan pada Sabtu itu dilaporkan telah membunuh beberapa pegawai kanan Iran, termasuk Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei.
Teheran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan beberapa negara Teluk.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, pada Ahad menyatakan bahawa institusi kerajaan masih utuh dan pemimpin agung yang baharu bakal dipilih dalam masa terdekat. – AGENSI










