Trump belum mahu tamat perang Iran - Utusan Malaysia

Trump belum mahu tamat perang Iran

.PASUKAN keselamatan Israel memeriksa kerosakan pada kereta selepas serangan roket di Holon, Israel semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON/TEHERAN/TEL AVIV: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Sabtu berkata beliau belum bersedia untuk membuat perjanjian bagi menamatkan perang dengan Iran, walaupun negara itu dilaporkan bersedia berbuat demikian kerana syaratnya masih belum cukup baik.

Dalam temu bual telefon yang panjang selama hampir 30 minit dengan laman berita NBC News, beliau enggan menjelaskan apakah syarat-syarat yang dimahukannya sehingga boleh menyebabkan perang AS-Israel itu berakhir.

Trump turut berkata bahawa beliau sedang bekerjasama dengan beberapa negara lain bagi merangka pelan untuk ‘mengamankan’ Selat Hormuz ketika harga minyak global meningkat selain  menolak kebimbangan rakyat AS mengenai kenaikan harga petrol sejak AS dan Israel melancarkan operasi ketenteraan bersama pada 28 Februari lalu.

Selat itu ditutup sejak 1 Mac lalu, tetapi Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata dalam wawancara dengan laman berita MSNow bahawa laluan strategik Selat Hormuz masih beroperasi untuk perkapalan antarabangsa tetapi kapal AS dan Israel tidak dibenarkan melaluinya.

Trump turut mempersoalkan sama ada pemimpin tertinggi baharu Iran. Ayatollah Mojtaba Khamenei masih hidup atau tidak.

Beliau menyatakan bahawa serangan AS telah memusnahkan  sebahagian besar Pulau Kharg yang mengandungi kemudahan minyak sambil menambah:  “Kami mungkin akan menyerangnya beberapa kali lagi hanya untuk berseronok.”

KEHABISAN STOK

Sementara itu, Israel telah memberi amaran kepada AS  bahawa bekalan peluru pemintas peluru berpandu balistiknya semakin berkurangan ketika perang dengan Iran memasuki minggu ketiga, menurut pegawai AS yang bercakap kepada laman berita Semafor.

Sistem pertahanan Israel memasuki konflik semasa dengan stok yang sudah berkurangan selepas pertempuran tahun lalu dengan Iran. Dalam pertempuran itu tahun lalu, sejumlah besar peluru pemintas digunakan untuk menangkis peluru berpandu yang masuk ke ruang udara Israel. 

Serangan berterusan Iran kini bagaimanapun memberi tekanan tambahan kepada rangkaian pertahanan udara jarak jauh Israel.

Laporan menunjukkan bahawa Iran juga telah melengkapkan sebahagian peluru berpandunya dengan bom berangkai, yang menyukarkan usaha pemintasan dan mempercepatkan penyusutan stok peluru pemintas Israel.

ISRAEL DISERANG

Israel berkata, seramai 108 orang yang cedera telah dibawa ke hospital akibat konflik dengan Iran dalam tempoh 24 jam lalu, menurut laporan akhbar The Times of Israel semalam.

Kementerian Kesihatan Israel tidak memberikan pecahan punca kecederaan tersebut dan sebahagian daripadanya mungkin dialami oleh orang ramai ketika cuba mendapatkan perlindungan, bukan secara langsung akibat serangan peluru berpandu dari Iran atau roket dari Lubnan, lapor akhbar itu.

Menurut Kementerian tersebut dalam hantaran di platform X bahawa sejak 28 Februari lalu hingga pagi semalam, seramai 3,195 orang telah dimasukkan ke hospital dengan 81 orang masih dirawat di hospital ketika ini.

GELOMBANG SERANGAN

Dalam pada itu,  tentera Israel berkata bahawa pihaknya telah memulakan gelombang serangan berskala besar yang menyasarkan infrastruktur milik rejim Iran di bahagian barat negara tersebut.

Letupan turut dilaporkan berlaku pada pagi Ahad di bandar Isfahan, Tabriz, Khomein, Hamedan, Dezful dan beberapa kawasan di bahagian barat Teheran.

Iran kini mengalami pemadaman internet yang serius sejak beberapa minggu lalu, yang menurut pemantau sambungan global, NetBlocks telah memasuki hari ke‑16  dengan peraturan ketat masih dikenakan yang menyebabkan sebahagian besar rakyat terus terputus daripada rangkaian antarabangsa. 

Sambungan internet antarabangsa turun kepada sekitar 1 peratus daripada tahap normal, dengan kebanyakan rakyat tidak dapat mengakses internet luar. 

Ketika Trump mendakwa Iran mahu berunding, Araghchi berkata bahawa penamatan perang bergantung kepada jaminan bahawa serangan tidak akan berulang dan pembayaran ganti rugi bagi kerosakan yang berlaku sepanjang konflik.

Dalam kenyataannya kepada akhbar Arab Al-Araby Al-Jadeed, Araghchi berkata, Teheran bersedia menubuhkan jawatankuasa penyiasatan bersama dengan negara-negara serantau untuk meneliti serangan ke atas sasaran di rantau itu.

Beliau menyatakan bahawa operasi Iran hanya menyasarkan AS dan kepentingannya di rantau ini, sambil menambah bahawa Teheran tidak menyasarkan kawasan awam atau kediaman di negara jiran.

Sejak 28 Februari lalu, sekurang-kurangnya 1,444 orang terbunuh dan 18,551 lagi cedera akibat serangan AS dan Israel ke atas Iran, menurut Kementerian Kesihatan Iran. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN