BEIRUT: Israel membunuh sekurang-kurangnya 31 orang dan mencederakan puluhan yang lain sejak awal Jumaat di seluruh Lubnan ketika Tel Aviv terus mengheret negara itu semakin jauh ke dalam perangnya bersama Amerika Syarikat (AS) menentang Iran.
Menurut agensi Nasional News Agency (NNA) dan saksi-saksi, sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan sembilan lagi cedera pada Jumaat apabila satu serangan Israel menyasarkan sebuah bangunan kediaman di pinggir timur Sidon, selatan Lubnan.
Pemimpin Hizbollah, Naim Qassem berkata, kumpulannya sudah bersedia menghadapi konfrontasi panjang dengan Israel.
“Kami sudah mempersiapkan diri untuk konfrontasi jangka panjang, mereka (Israel) akan terkejut di medan perang.
“Ini adalah pertempuran kelangsungan hidup, bukan pertempuran yang terhad atau mudah,” kata Qassem dalam ucapan televisyen keduanya sejak perang bermula.
Hizbollah mula menyasarkan tapak ketenteraan Israel pada 2 Mac sebagai tindak balas terhadap serangan Israel yang berterusan ke atas Lubnan walaupun terdapat perjanjian gencatan senjata yang dicapai pada November 2024.
Israel memperluaskan perang pada hari yang sama dengan melancarkan serangan udara di pinggir selatan Beirut dan kawasan di selatan serta timur Lubnan sebelum memulakan pencerobohan darat terhad di selatan Lubnan pada 3 Mac lalu.
Pihak berkuasa Lubnan berkata, pada petang Khamis, serangan Israel yang diperluaskan ke atas negara itu membunuh hampir 800 orang, mencederakan 1,933 yang lain dan menyebabkan kira-kira 822,000 lagi kehilangan tempat tinggal.
Sementara itu, di kampung berhampiran, Irkey, seorang penduduk, Mohammad Taqi mengebumikan empat anak perempuannya, berusia enam hingga 13 tahun yang terbunuh dalam serangan Israel pada Khamis bersama lima lagi saudara-mara mereka.
“Musuh Israel setiap hari menyatakan bahawa mereka menyasarkan infrastruktur. Adakah ini infrastruktur?
“Saya kehilangan empat anak perempuan, Zainab, Zahra, Malika dan Yasmina. Saya tidak mempunyai anak yang lain. Saya juga kehilangan ibu bapa, abang, anak saudara dan abang ipar dalam serangan yang sama,” katanya sayu kepada agensi berita AFP dengan kepala berbalut dan wajah dipenuhi luka.
Pasukan penyelamat menemui dua mayat dari sebuah bangunan yang runtuh akibat serangan pada waktu subuh di bandar Qleileh. Operasi masih diteruskan untuk mencari mangsa yang hilang.
Seorang terbunuh selepas sebuah dron Israel menyasarkan motosikal yang ditungganginya di jalan antara bandar Kfartabnit dan Arnoun, daerah Nabatieh.
Dalam pada itu, di Lembah Bekaa tengah, timur Lubnan, satu serangan udara Israel menyasarkan sebuah apartmen kediaman di bandar Bar Elias, membunuh dua anak lelaki seorang pegawai tempatan dan mencederakannya bersama dua yang lain.
Pesawat perang Israel juga melancarkan serangan udara besar-besaran menyasarkan kawasan di daerah Hermel, Tyre dan Bint Jbeil, selatan Lubnan dengan dua kanak-kanak dilaporkan terbunuh dalam serangan di sebuah bangunan berhampiran Sekolah Al-Safir di perbandaran Al-Ghaziyah.
Menurut NNA, beberapa anggota perubatan daripada Anggota Pertahanan Awam Islamic Message Scouts dan Pihak Berkuasa Kesihatan Islam terbunuh dalam serangan udara Israel di kampung Souaneh di wilayah Nabatieh, namun jumlah korban tidak dinyatakan. – AGENSI/AFP










