BANGKOK: Tiga kru dipercayai terperangkap di atas kapal pukal Thailand, Mayuree Naree selepas diserang dua peluru berpandu ketika melalui Selat Hormuz.
Pengawal Revolusi Iran (IRGC) berkata, telah menyerang kapal berdaftar Thailand itu, serta sebuah kapal berbendera Liberia, kerana didakwa mengabaikan amaran.
Kapal Thailand itu diserang pada pagi ketika transit melalui perairan Teluk, selepas berlepas dari pelabuhan Khalifa di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Serangan itu merosakkan ruang enjin kapal dan menyebabkan kebakaran. Tiga kru dilaporkan hilang dan dipercayai terperangkap di ruang enjin,” kata syarikat pengangkutan Thailand, Precious Shipping dalam kenyataan pada Rabu malam sambil memaklumkan pihak berkuasa sedang berusaha untuk menyelamatkan mereka.
Tentera laut Oman berjaya menyelamatkan 20 anak kapal dan usaha menyelamatkan tiga kru yang tinggal masih dijalankan, menurut tentera laut Thailand pada Rabu.
Kementerian luar Thailand berkata, kesemua 23 kru adalah warganegara Thailand.
Sejak serangan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran pada akhir Februari mencetuskan perang di Asia Barat, republik Islam itu telah melancarkan serangan balas ke atas negara jiran pengeksport minyak.
Serangan-serangan ini mengancam perkapalan di Selat Hormuz dan menjejaskan ekonomi tenaga global. Selat ini adalah laluan air penting bagi satu perlima bekalan minyak dunia.-AFP










