LONDON: Imej haiwan bakal menghiasi siri wang kertas Bank of England (BOE) yang akan datang, sebagai langkah bank pusat itu untuk beralih daripada penggunaan tokoh sejarah terkenal seperti William Shakespeare, Winston Churchill dan Jane Austen.
Ketua Juruwang BOE, Victoria Cleland berkata, tema alam semula jadi adalah pilihan yang tepat dari sudut keselamatan dan pengesahan wang kertas.
Langkah itu juga membolehkan pihak bank mempamerkan kekayaan serta kepelbagaian hidupan liar yang terdapat di United Kingdom (UK) menerusi siri nota bank terbaharu itu.
Walaupun wajah tokoh sejarah akan digantikan, potret Raja Charles III akan tetap dikekalkan pada siri wang kertas tersebut.
Potret pemerintah monarki mula dipaparkan pada wang kertas sejak zaman Ratu Elizabeth II pada 1960, manakala Shakespeare merupakan tokoh sejarah pertama yang muncul pada tahun 1970.
Keputusan perubahan reka bentuk ini dibuat susulan sesi rundingan awam yang diadakan pada Julai 2025.
Hasil tinjauan mendapati 60 peratus daripada 44,000 responden menyokong tema alam semula jadi, 56 peratus memilih tema seni bina dan mercu tanda manakala 38 peratus masih mahukan tokoh sejarah terkemuka.
Pihak BOE menegaskan bahawa hanya haiwan liar asli dari UK sahaja yang akan dipilih dan kategori haiwan peliharaan adalah dilarang sama sekali.
Satu lagi sesi rundingan akan dijalankan dalam masa terdekat bagi membolehkan orang awam memilih spesies haiwan spesifik berdasarkan senarai yang telah disediakan oleh pakar hidupan liar Britain.
Selain BOE, tujuh bank komersial di Scotland dan Ireland Utara turut mempunyai kuasa untuk mengeluarkan wang kertas mereka sendiri di UK. -AGENSI










