ENGELBERG: Seorang individu dilaporkan maut selepas sebuah kabin kereta kabel di sebuah pusat peranginan ski di Switzerland terhempas ke lereng gunung yang dilitupi salji akibat angin kencang.
Jurucakap polis memaklumkan kepada pemberita bahawa mangsa mengalami kecederaan parah yang membawa maut, namun punca sebenar kematian masih belum disahkan secara rasmi.
Menurut pihak polis, mangsa yang identitinya belum didedahkan itu merupakan satu-satunya penumpang di dalam gondola berkenaan ketika kejadian berlaku.
Perkhidmatan menyelamat udara, Rega, menyatakan bahawa sebuah helikopter telah dikejarkan ke lokasi kejadian di pusat peranginan ski Engelberg, yang terletak di tengah Switzerland.
Pihak polis Nidwalden mengesahkan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan tragis tersebut.
Polis tidak memberikan umur atau kewarganegaraan individu tersebut.
Pegawai polis wilayah Nidwalden, Senad Sakic berkata, maklumat awal menunjukkan sebuah gondola pada kereta kabel Hitlis Express dari Engelberg menuju ke Stand terhempas tidak lama selepas stesen tengah Trubsee.
Perkhidmatan penyelamat Rega mengesahkan kepada AFP mereka telah menghantar pasukan penyelamat menggunakan helikopter ke kawasan tersebut, tanpa memberikan butiran lanjut.
Polis enggan mengulas mengenai punca kemalangan, dengan menyatakan bahawa perkara itu sedang disiasat.
Media melaporkan angin kencang mungkin menjadi punca, dengan pejabat meteorologi Switzerland menunjukkan angin sehingga 93 kilometer sejam melanda kawasan itu ketika kejadian berlaku.
“Pada kelajuan 40 kilometer sejam, amaran angin akan berbunyi untuk jenis kereta kabel ini. Pada kelajuan itu, kakitangan berada dalam keadaan berjaga-jaga tinggi dan pada kelajuan 60 kilometer sejam, satu lagi amaran angin akan berbunyi yang memerlukan sistem dihentikan,” kata ketua lif ski resort tersebut, Norbert Pratt.










