WASHINGTON: Seorang anggota tentera Amerika Syarikat (AS) dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dalam serangan minggu lalu di Arab Saudi, sekali gus menjadikan jumlah tentera Amerika yang terkorban dalam perang dengan Iran meningkat kepada tujuh orang.
Komando Pusat AS (CENTCOM) dalam kenyataan di platform X memaklumkan anggota berkenaan meninggal dunia malam tadi akibat kecederaan yang dialami ketika serangan awal Iran di Asia Barat.
Menurut CENTCOM, anggota itu cedera parah di lokasi serangan terhadap tentera AS di Arab Saudi pada 1 Mac lalu.
Identiti anggota tentera berkenaan tidak didedahkan sehingga 24 jam selepas keluarganya dimaklumkan, selaras dengan prosedur biasa.
Perkembangan itu diumumkan sehari selepas upacara pemindahan rasmi mayat enam anggota tentera AS yang terbunuh minggu lalu di Kuwait.
Presiden Donald Trump bersama beberapa pegawai kanan turut menghadiri upacara berkenaan di Pangkalan Tentera Udara Dover ketika jenazah tentera terbabit dibawa pulang ke tanah air.
Serangan, yang berlaku tanpa amaran, menyasarkan pusat operasi sementara di pelabuhan awam Shuaiba pada 1 Mac.
Kesemua enam anggota tentera berkenaan ditugaskan dengan Komando Kelestarian ke-103, sebuah unit Simpanan Tentera Darat dari Iowa.
Trump memberitahu ABC pada Ahad bahawa pertemuan dengan keluarga enam anggota tentera itu tidak membuatkannya teragak-agak mengenai perang tersebut.
“Ibu bapa pasti akan kecewa jika saya berbuat begitu. Mereka semua berkata kepada saya, ‘Tolong, menangilah untuk anak saya,’ dan dalam satu kes seorang wanita muda, seperti yang anda tahu, berkata, ‘Tolong, menangilah untuk anak saya,” katanya.
Presiden sebelum ini juga berkata kemungkinan akan ada lebih banyak korban tentera Amerika dalam perang dengan Iran.
Ditanya pada Sabtu sama ada beliau menjangka perlu menghadiri lebih banyak upacara pemindahan jenazah, Trump berkata, “Saya pasti. Saya tidak suka… tetapi ini sebahagian daripada perang.”
CENTCOM turut mengumumkan pada Ahad dalam satu hantaran berasingan di media sosial bahawa seorang anggota Pengawal Kebangsaan AS meninggal dunia akibat ‘insiden berkaitan kesihatan di Kuwait pada 6 Mac semasa kecemasan perubatan’.
Sorffly Davius, 46, dari Queens, New York, meninggal dunia di Kem Buehring, menurut Pentagon. Kejadian itu sedang disiasat.
Menurut pihak polis, Davius merupakan pegawai polis New York City sejak 2014.- CNN











