Russia mula hantar dron kepada Iran - Utusan Malaysia

Russia mula hantar dron kepada Iran

DRON Russia dipintas di Kyiv, Ukraine 16 Mac lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Russia dilaporkan bersedia untuk mula menghantar dron, ubat-ubatan dan makanan kepada sekutunya, Iran, sebagai sokongan terhadap usaha ketenteraan yang sedang dijalankan bagi  menentang Amerika Syarikat (AS) dan Israel dalam perang di Asia Barat.

Menurut akhbar Financial Times, laporan risikan Barat mendakwa bahawa Moscow dan Teheran telah mengadakan rundingan sulit mengenai bekalan dron sejurus selepas perang bermula pada 28 Februari lalu.

Pihak Russia sebelum ini telah memberikan imej-imej satelit, data sasaran dan sokongan risikan kepada Iran.

Namun, penghantaran dron ini akan menjadi bantuan pertama yang berpotensi membawa maut yang mereka bekalkan.

Kedua-dua negara itu telah bersetuju menjalin perkongsian strategik pada tahun lalu yang tidak merangkumi komitmen untuk mempertahankan satu sama lain.

Seorang jurucakap Moscow tidak mengesahkan mahupun menafikan laporan pada Rabu tersebut.

“Terdapat banyak maklumat palsu yang beredar ketika ini. Satu perkara yang pasti,  kami terus menjalinkan dialog dengan kepimpinan Iran,” kata jurucakap tersebut, Dmitry Peskov.

Pada awal Rabu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mendakwa Russia cuba memeras ugut AS dengan menawarkan untuk menghentikan perkongsian risikan ketenteraan dengan Iran.

Perkongsian itu akan dihentikan jika Washington memutuskan akses Kyiv kepada data risikannya, kata presiden itu.

Zelensky, yang pada Isnin berkata bahawa risikan ketenteraan Ukraine mempunyai bukti tidak dapat disangkal bahawa Russia terus menyalurkan risikan kepada Iran dan memberitahu Reuters bahawa beliau telah melihat data tersebut tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Bercakap di kompleks presidennya di Kyiv, Zelensky berkata, beberapa dron Iran yang digunakan untuk menyerang aset ketenteraan AS dan sekutunya semasa perang di Asia Barat  mengandungi komponen buatan Rusia.

“Saya mempunyai laporan daripada perkhidmatan risikan kami yang menunjukkan bahawa Russia melakukan perkara ini dan tidak akan menyalurkan risikan kepada Iran jika Amerika menghentikan penyaluran risikan kepada Ukraine. Bukankah itu pemerasan? Sudah tentu,” kata Zelensky.

Ukraine, yang telah berdepan serangan berterusan oleh dron Shahed rekaan Iran sejak Russia melancarkan pencerobohannya pada 2022, kini membantu beberapa negara Teluk  termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar  untuk menangkis serangan dron di wilayah mereka, kata presiden itu. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN