KAHERAH: Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi menggesa rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat (AS), Donald Trump supaya membantu menamatkan perang di Asia Barat yang kini memasuki bulan kedua.
Abdel Fattah berkata demikian dalam kenyataan bersama Presiden Cyprus, Nikos Christodoulides kepada media di Kaherah semalam.
“Saya katakan kepada Trump, tiada siapa yang mampu menghentikan perang di rantau kita, di Teluk. Tolong, bantu kami menghentikan perang ini, anda mampu melakukannya.
“Saya bercakap kepada anda atas nama kemanusiaan dan atas nama semua yang cintakan keamanan dan anda, Tuan Presiden, adalah antara mereka yang cintakan keamanan,” katanya.
Mesir merupakan antara beberapa negara majoriti Islam yang menteri luarnya menyertai rundingan di Pakistan pada Ahad bertujuan mencari jalan damai segera.
Ucapan Abdel Fattah itu dibuat tidak lama sebelum Trump mengancam untuk memusnahkan loji elektrik Iran serta Pulau Kharg, lokasi utama eksport minyak negara itu.
Sebelum ini, Presiden Mesir itu juga pernah merayu kepada Trump dalam isu keamanan, termasuk pada Oktober apabila beliau menyatakan Trump adalah satu-satunya individu yang mampu menamatkan perang antara Israel dan Hamas di Gaza.-AFP










