Polis diberi kuasa minta kata laluan telefon bimbit - Utusan Malaysia

Polis diberi kuasa minta kata laluan telefon bimbit

POLIS Hong Kong kini mempunyai kuasa meminta kata laluan telefon bimbit. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Kerajaan Hong Kong telah meluluskan undang-undang baharu yang memberi kuasa kepada pihak polis untuk meninta kata laluan telefon bimbit atau komputer daripada individu yang disyaki melanggar undang-undang keselamatan negara.

Pada Isnin, kerajaan melakukan pindaan terhadap peraturan pelaksanaan keselamatan negara yang diperkenalkan oleh Beijing, dengan menggunakan kuasa khas untuk memintas badan perundangan Hong Kong.

Berdasarkan peraturan baharu tersebut, pegawai polis boleh memaksa suspek untuk menyahkod peranti elektronik mereka serta menyediakan kata laluan dan sebarang maklumat atau bantuan yang munasabah dan perlu.

Kegagalan untuk mematuhi arahan tersebut boleh mengakibatkan hukuman penjara sehingga satu tahun dan denda sehingga HK$100,000 (RM50,835). 

Bagi individu yang memberikan maklumat palsu atau mengelirukan pula, boleh berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun.

Beberapa penganalisis menyifatkan kuasa baharu itu sebagai sangat tidak sepadan dan mengganggu kebebasan hak asasi, termasuk privasi komunikasi serta hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.

Peraturan baharu ini adalah sebahagian daripada undang-undang kecil di bawah akta keselamatan negara yang diperkenalkan pada tahun 2020 bagi mengekang protes pro-demokrasi besar-besaran yang berlaku setahun sebelumnya. 

Undang-undang tersebut yang menyasarkan kegiatan pemisahan, subversi, keganasan dan pakatan sulit dengan organisasi asing telah dikritik hebat kerana dianggap terlalu meluas dan zalim sehingga mengubah landskap perundangan Hong Kong secara drastik.

Bagaimanapun, kerajaan Hong Kong dalam satu kenyataan pada Isnin menegaskan bahawa peraturan baharu itu memastikan aktiviti yang menggugat keselamatan negara dapat dicegah, disekat, dan dihukum dengan berkesan, manakala hak serta kepentingan sah individu serta organisasi tetap dilindungi secukupnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN