PARIS: Perang di di Asia Barat antara AS-Israel dan Iran tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda akan terhenti. Berikut perkembangan terbaharu perang tersebut:
Kumpulan Iraq sambung henti serangan ke atas kedutaan AS
Kataeb Hezbollah, kumpulan bersenjata yang disokong Iran di Iraq berkata, pihaknya akan menyambung tempoh lima hari hentian menyerang Kedutaan AS di Baghdad yang diumumkan pada hari Khamis.
Sejak perang di Asia Barat bermula, kumpulan bersenjata pro-Iran mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan hampir setiap hari ke atas kepentingan AS di Iraq dan seluruh rantau, manakala serangan juga mensasarkan kumpulan-kumpulan ini.
Lubnan dakwa Iran memimpin operasi Hezbollah
Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam berkata, anggota Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memimpin operasi Hezbollah dalam perang kumpulan itu menentang Israel.
Dalam satu temu bual dengan rangkaian Al Hadath, Salam sekali lagi mengkritik Hezbollah kerana menyeret Lubnan ke dalam perang Asia Barat dengan melancarkan roket ke Israel.
Israel perluas operasi darat di Lubnan
Tentera Israel berikrar akan memperluaskan operasi daratnya di Lubnan menentang kumpulan Hezbollah yang disokong Iran, sambil memberi amaran serangan itu baharu sahaja bermula.
“Kami kini sedang bersiap untuk melanjutkan operasi darat dan serangan berpandukan rancangan yang tersusun,” kata Ketua IDF, Leftenan Jeneral Eyal Zamir dalam satu kenyataan.
Perang berlanjutan ‘beberapa minggu’ lagi
Jurucakap tentera Israel, Brigadier Jeneral Effie Defrin berkata, rejim itu bakal berdepan beberapa minggu lagi pertempuran menentang Iran dan Hezbollah, dalam satu taklimat yang disiarkan di televisyen.
Serangan di Iraq
Tiga serangan mensasarkan kumpulan bersenjata pro-Iran berpengaruh di kubu mereka selatan Baghdad, kata pihak berkuasa Iraq.
Kumpulan itu adalah bekas perikatan paramiliter yang dipanggil Hashed al-Shaabi, juga dikenali sebagai Popular Mobilisation Forces (PMF). Ia sebahagian daripada angkatan tentera tetap Iraq, tetapi juga merangkumi beberapa kumpulan pro-Iran.
Serangan itu berlaku selepas satu serangan mensasarkan pusat diplomatik dan logistik AS di Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad, menurut pegawai Iraq kepada AFP.
Israel siasat kematian orang awam
Tentera Israel berkata, pihaknya sedang menyiasat sama ada tembakan mereka sendiri telah membunuh seorang orang awam Israel berhampiran sempadan Lubnan, di kawasan di mana Hezbollah mendakwa melakukan serangan.
Petugas kecemasan Israel sebelum ini berkata, seorang lelaki terbunuh apabila keretanya terkena tembakan tepat dari roket yang dilancarkan dari Lubnan, menjadikannya korban pertama di utara negara itu sejak pusingan terbaru pertempuran dengan Hezbollah bermula.
Tetapi tentera Israel kemudian berkata, mereka sedang menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk kemungkinan insiden itu melibatkan tembakan daripada tentera IDF sendiri.
Kebakaran di Tebing Barat
Penduduk Palestin berkata, peneroka haram Israel telah membakar bangunan dan kereta dalam serangan ke atas beberapa kampung di Tebing Barat yang diduduki, keganasan terbaharu selepas beberapa pembunuhan rakyat Palestin oleh Israel di kawasan itu sejak perang bermula.
Lubnan kecam serangan Israel
Presiden Lubnan, Joseph Aoun, mengecam serangan Israel ke atas jambatan dan infrastruktur lain di selatan negara itu, menyifatkan serangan itu sebagai ‘pembuka jalan’ kepada pencerobohan darat.
Kementeri Pertahanan Israel mengarahkan jambatan di kawasan itu diserang selepas mendakwa ia digunakan oleh Hezbollah yang disokong Iran.
Iran ugut tutup Selat Hormuz
“Jika Trump bertindak terhadap ugutannya untuk menyerang loji kuasa Iran, Selat Hormuz akan ditutup sepenuhnya,” kata Komando Operasi Tentera Iran, Khatam Al-Anbiya dalam satu kenyataan di televisyen negara.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Sabtu memberi Iran tempoh 48 jam untuk membuka Selat Selat Hormuz kepada trafik perkapalan atau berdepan kemusnahan infrastruktur tenaga mereka.
“Jika Iran tidak MEMBUKA SEPENUHNYA, TANPA ANCAMAN, Selat Hormuz dalam tempoh 48 JAM dari saat ini, AS akan menyerang dan memusnahkan pelbagai LOJI KUASA mereka, bermula dengan yang terbesar terlebih dahulu!” kata Trump di platform Truth Social miliknya.
Penutupan de facto selat itu oleh Iran telah mengurangkan bekalan minyak dan gas dari Teluk, menyebabkan harga melonjak dan negara-negara lain bergegas mencari alternatif.
Sebagai tindak balas, tentera Iran berkata, mereka akan membalas dengan menyasarkan semua infrastruktur tenaga, teknologi maklumat dan penyahgaraman milik AS serta rejim di rantau ini.
Israel serang Teheran
Tentera Israel berkata, pasukannya melancarkan gelombang serangan ke atas Teheran awal pagi Ahad, beberapa jam selepas peluru berpandu Iran mengenai dua bandar di selatan Israel.
“Pasukan Israel sedang menjalankan serangan ke atas sasaran rejim pengganas Iran di tengah-tengah Teheran”, menurut kenyataan.
Bandar Israel diserang
Serangan peluru berpandu Iran ke atas dua bandar di selatan Israel mencederakan lebih 100 orang pada Sabtu selepas sistem pertahanan udara Israel gagal memintas peluru tersebut.
Pasukan penyelamat berkata, 84 orang cedera di bandar Arad, 10 daripadanya parah, beberapa jam selepas 33 orang cedera di bandar berhampiran, Dimona.
Media kerajaan Iran berkata, serangan ke atas Dimona yang menempatkan kemudahan nuklear, adalah tindak balas terhadap serangan terdahulu ke atas tapak nuklear mereka di Natanz.
UAE jadi sasaran selepas amaran
Emiriah Arab Bersatu (UAE) memaklumkan berdepan serangan udara dari Iran selepas republik Islam itu memberi amaran kepada jirannya supaya tidak membenarkan serangan dilancarkan dari pulau-pulau yang dipertikaikan berhampiran Selat Hormuz.
Pulau Abu Musa dan Greater Tunb, yang dikawal Iran tetapi dituntut oleh UAE, telah lama menjadi punca pertikaian antara kedua-dua negara.
G7 tuntut Iran hentikan serangan
Utusan tertinggi bagi Kumpulan Tujuh (G7) dan Kesatuan Eropah (EU) menggesa penghentian segera tanpa syarat terhadap serangan Iran ke atas sekutu di Asia Barat.
“Kami menggesa penghentian segera dan tanpa syarat semua serangan oleh rejim Iran.
“Kami menyokong hak negara yang diserang secara tidak wajar oleh Iran atau proksinya untuk mempertahankan wilayah dan melindungi rakyat mereka,” kata menteri luar Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Britain, AS serta ketua dasar luar EU dalam satu kenyataan.
Bantuan WHO ke Beirut
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menghantar konvoi pertama melalui darat membawa 22 tan ubat-ubatan dan peralatan perubatan ke Beirut dari hab logistik kecemasan globalnya di Dubai.
Lubnan terheret ke dalam perang apabila Hezbollah mula melancarkan roket ke Israel bagi membalas pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan Israel-AS.
Israel bertindak balas dengan serangan besar-besaran di seluruh Lubnan serta pencerobohan darat di kawasan sempadan, mengorbankan lebih 1,000 orang menurut pihak berkuasa Lubnan.
UAE tutup hospital
Pihak berkuasa UAE mengarahkan sebuah hospital yang dikaitkan dengan negara Iran di Dubai ditutup, menurut tiga pekerja kepada AFP, satu lagi tanda hubungan yang semakin tegang antara negara Teluk itu.
Iran dakwa tembak jatuh F-16 Israel
Pengawal Revolusi Iran berkata, mereka telah menyerang sebuah pesawat pejuang F-16 Israel di Iran tengah.
Tentera Israel sebelum ini berkata, peluru berpandu darat ke udara telah dilancarkan ke arah salah satu pesawatnya di Iran, tetapi tidak jelas sama ada kedua-dua kenyataan merujuk kepada insiden yang sama.
Israel juga berkata, mereka menyerang kilang Iran yang menghasilkan komponen peluru berpandu balistik.
Tapak Iran ‘terjejas’
Ketua Komando Pusat AS (CETCOM) berkata, bom pemusnah kubu bawah tanah telah digugurkan ke atas kemudahan pesisir bawah tanah Iran minggu ini, dan keupayaan Iran untuk mengancam kebebasan pelayaran di sekitar Selat Hormuz telah terjejas.
Penutupan Selat Hormuz dikecam
Sebanyak 22 negara, termasuk Australia, Britain, Perancis, Jerman, Jepun dan Korea Selatan, mengecam serangan Iran ke atas kapal di Teluk serta penutupan berkesan Selat Hormuz.
Dalam satu kenyataan, negara-negara tersebut, yang turut merangkumi Bahrain dan UAE, menyatakan kesediaan untuk menyumbang kepada usaha yang sesuai bagi memastikan laluan selamat melalui selat itu.
AS tidak termasuk dalam senarai penandatangan.
Tapak nuklear diserang
Badan tenaga atom Iran berkata, serangan AS-Israel mengenai kemudahan nuklear Natanz, tetapi tiada kebocoran bahan radioaktif dilaporkan.
Ketua pengawas nuklear PBB, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa ((IAEA), menggesa penahanan ketenteraan bagi mengelakkan risiko kemalangan nuklear, manakala Russia mengecam serangan itu dan memberi amaran ia boleh mencetuskan malapetaka di Asia Barat.
WHO memberi amaran serangan di sekitar tapak nuklear di Iran dan Israel telah menolak perang Asia Barat ke ‘tahap berbahaya’.
“Saya dengan segera menyeru semua pihak agar mengamalkan penahanan ketenteraan maksimum dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan insiden nuklear,” kata Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus di platform X.
-AFP











