TEHERAN: Perang AS-Israel terhadap Iran berterusan memasuki hari keenam dengan beberapa letupan kedengaran di Teheran selepas Israel melancarkan satu lagi gelombang serangan menyasarkan ibu negara pada pagi Khamis.
Agensi berita Fars melaporkan satu letupan berlaku di barat Teheran, manakala akhbar Shargh dan Tasnim melaporkan sekurang-kurangnya satu letupan di Karaj, sebuah bandar yang terletak di sebelah barat ibu negara tersebut.
Serangan itu berlaku ketika Israel meneruskan siri serangan udara yang menyasarkan infrastruktur ketenteraan Iran di Teheran dan kawasan sekitarnya dalam konflik yang semakin memuncak antara kedua-dua pihak.
IRAN LANCAR SERANGAN SASAR ISRAEL
Namun Iran dilaporkan sudah mengaktifkan sistem pertahanan sebagai tindak balas.
Iran melancarkan gelombang baharu serangan peluru berpandu ke arah Israel awal Khamis, sekali gus mencetuskan amaran di beberapa kawasan termasuk Tel Aviv, menurut tentera Israel dan media rasmi Teheran.
Letupan turut kedengaran di Baitulmuqaddis selepas amaran mengenai serangan peluru berpandu Iran yang sedang menuju ke arah Israel, menurut wartawan AFP.
Namun, perkhidmatan kecemasan Israel mendakwa setakat ini tiada laporan mangsa terkorban atau cedera.
Teheran turut memaklumkan menyasarkan kumpulan Kurdish di Iraq serta memberi amaran kepada kumpulan pemisah supaya tidak mengambil tindakan ketika perang semakin meluas.
Israel pula berkata ia telah melancarkan serangan ke atas Beirut yang menyasarkan kumpulan Hizbullah disokong Iran pada Khamis, sementara media rasmi Lubnan melaporkan serangan dron Israel membunuh seorang pegawai Hamas.
Serangan udara itu dilaporkan mengenai kubu Hezbollah di selatan Beirut pada awal Khamis selepas amaran dikeluarkan kepada penduduk. Tiga orang terbunuh dalam dua serangan ke atas kenderaan di lebuh raya berhampiran lapangan terbang Beirut.
Peluru berpandu balistik dari Iran yang menuju ruang udara Turkiye melalui Iraq dan Syria berjaya dimusnahkan oleh sistem pertahanan NATO. Turkiye berkata peluru berpandu itu disasarkan ke pangkalan di Cyprus Yunani tetapi tersasar.
Sementara itu, sebuah kapal tangki terkena letupan besar di perairan Kuwait, menyebabkan tumpahan minyak, menurut agensi keselamatan maritim Britain, UKMTO.
Kerajaan Qatar juga mengumumkan sudah mula memindahkan penduduk ibu negara yang tinggal berhampiran kedutaan AS sebagai langkah berjaga-jaga selepas serangan Iran.
TRUMP DAKWA SUDAH BERJAYA
Presiden AS, Donald Trump berkata, mendakwa AS ‘berjaya’ dalam peperangan ini dan pemimpin Iran sedang disasarkan, manakala pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menganggap Israel dan Washington mencapai ‘kejayaan bersejarah’.
“Kami sedang berjaya di medan perang, sekadar untuk merendah diri. Seseorang bertanya, pada skala 1 hingga 10, bagaimana saya menilai pencapaian itu? Saya jawab, kira-kira 15,” kata Trump kepada sekumpulan ketua syarikat teknologi.
Resolusi dwipartisan untuk mengehadkan kuasa Trump melancarkan serangan ke Iran ditolak Senat dengan undi 53–47, menunjukkan sokongan kongres tipis terhadap konflik yang dijalankan tanpa kelulusan rasmi.
Perdana Menteri Kanada, Mark Carney berkata mereka tidak menolak kemungkinan menyertai perang yang semakin meluas, menekankan sokongan terhadap sekutu.
Dalam pada itu, Sepanyol menegaskan pendirian menentang penggunaan pangkalan mereka oleh AS untuk serangan ke Iran, walaupun Trump mengugut tindakan perdagangan.
Rumah Putih berkata, Madrid telah bersetuju untuk bekerjasama, tetapi Menteri Luar Sepanyol, José Manuel Albares menegaskan pendirian negara itu mengenai penggunaan pangkalan, perang di Timur Tengah dan pengeboman Iran tidak pernah berubah sama sekali.
CHINA HANTAR UTUSAN KHAS
Semalam, Menteri Luar China, Wang Yi, mengumumkan negara itu akan menghantar utusan khas untuk memediasi, menegaskan sokongan terhadap kedaulatan Iran dan menasihati AS serta Israel menghentikan serangan.
Syarikat Maersk di Denmark dan Hapag-Lloyd di Jerman terpaksa menangguhkan tempahan di Teluk susulan penilaian risiko. Harga minyak meningkat apabila Iran memberi amaran terhadap laluan Selat Hormuz.
Tentera laut Oman menyelamatkan 24 anak kapal kapal kontena yang diserang peluru berpandu di Selat Hormuz. Iran mendakwa menguasai sepenuhnya selat itu.
Sementara tu, sebuah kapal perang Iran ditenggelamkan oleh kapal selam AS di luar pantai Sri Lanka, dengan 87 mayat ditemui oleh pihak tentera laut Sri Lanka.
Menteri Luar Iran, Abas Araghchi turut mengecam AS atas tindakan menenggelamkan kapal tentera laut Iran di luar pantai Sri Lanka, menuduhnya sebagai tindakan kekejaman dan memberi amaran Washington akan menanggung penyesalan yang pahit atas langkah yang telah mereka ambil.
“AS telah melakukan satu kekejaman di laut kira-kira 3,219kmd dari perairan Iran. Frigat Dena yang berada di bawah jemputan Tentera Laut India dan membawa hampir 130 anak kapal, diserang di perairan antarabangsa tanpa sebarang amaran,” katanya melalui hantaran di X.
“Perhatikan kata-kata saya! AS akan menyesal dengan pahit atas langkah yang telah mereka lakukan,” tambah Araghchi.-AFP










