BAITULMUQADDIS: Bedilan peluru berpandu dari Iran mencederakan tiga orang di Baitulmuqaddis lewat Ahad, menurut pihak perubatan Israel, manakala polis melaporkan hentaman kuat di sebuah lebuh raya di bandar itu.
“Impak langsung satu peluru berpandu dikenal pasti di salah satu jalan utama di Baitulmuqaddis,” kata polis dalam satu kenyataan, sambil berkongsi rakaman menunjukkan anggota polis berada di laluan lebuh raya yang dipenuhi runtuhan.
Perkhidmatan perubatan kecemasan Israel, Magen David Adom berkata, tiga orang cedera, termasuk seorang lelaki berusia 46 tahun yang mengalami kecederaan serpihan pada tahap sederhana.
Organisasi perubatan itu sebelum ini memaklumkan beberapa individu lain turut menerima rawatan bagi kecederaan ringan di lokasi kejadian.
Wartawan AFP mendengar beberapa letupan kuat di udara di atas bandar itu selepas tentera Israel menyatakan mereka mengesan peluru berpandu dilancarkan dari Iran.
Stesen televisyen awam Israel, Kan dan Channel 12 menyiarkan rakaman menunjukkan anggota polis dan pasukan penyelamat dikerahkan ke kawasan yang mengalami kerosakan ketara, di tengah-tengah Israel dan satu lagi di kawasan Baitulmuqaddis.
Di kawasan Baitulmuqaddis, rakaman menunjukkan jalan raya dipenuhi serpihan dan batu.
Di tengah Israel, beberapa kenderaan dilaporkan rosak.
Penapisan ketenteraan bagaimanapun melarang media mendedahkan lokasi tepat tapak impak bedilan tersebut.-AFP










