Pegawai tertinggi anti-keganasan AS letak jawatan, bantah Trump serang Iran

Pegawai tertinggi anti-keganasan AS letak jawatan, bantah Trump serang Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pegawai tertinggi anti-keganasan Donald Trump meletak jawatan selepas meluahkan rasa tidak puas hati dengan perang di Iran, sambil menggesa Presiden AS itu untuk mengubah haluan.

Dalam sepucuk surat yang dimuat naik di platform X, Pengarah Pusat Anti-Keganasan Kebangsaan, Joe Kent berkata, Iran tidak menimbulkan sebarang ancaman segera kepada AS dan menegaskan pentadbiran Trump memulakan perang itu akibat tekanan daripada Israel dan lobi kuatnya di Washington.

Dengan peletakan jawatannya, Kent menjadi tokoh paling berprofil tinggi dalam pentadbiran Trump yang secara terbuka mengkritik serangan bersama AS-Israel ke atas Iran.

Isteri Kent, Shannon juga pernah berkhidmat dalam tentera AS dan terbunuh Ketika serangan pengeboman bunuh diri di Syria pada tahun 2019.

“Sebagai seorang suami ‘Gold Star’ yang kehilangan isteri tercinta saya, Shannon dalam perang yang dicetuskan oleh Israel, saya tidak dapat menyokong penghantaran generasi seterusnya untuk berperang dan mati dalam konflik yang tidak memberi manfaat kepada rakyat Amerika serta tidak membenarkan pengorbanan nyawa rakyat Amerika.

“Sehingga Jun 2025, anda memahami bahawa peperangan di Asia Barat adalah satu perangkap yang meragut nyawa berharga patriot kita dan menghakis kekayaan serta kemakmuran negara kita,” kata Kent dalam suratnya kepada Trump yang dimuat naik di platform X.

Sebagai Ketua NCTC, Kent bekerja di bawah Pengarah Perisikan Negara, Tulsi Gabbard dengan menganalisis serta menyelaraskan tindak balas AS terhadap ancaman keganasan dan bertindak sebagai penasihat utama anti-keganasan kepada presiden.

Kent, seorang veteran tentera yang mengakui ditugaskan ke medan tempur sebanyak 11 kali turut menuduh pegawai kanan Israel dan anggota berpengaruh dalam media AS terlibat melaksanakan kempen maklumat salah yang menyemai sentimen pro-perang bagi menggalakkan konflik dengan Iran.

“Ruang gema ini digunakan untuk memperdaya anda supaya percaya bahawa Iran menimbulkan ancaman segera kepada AS, kononnya anda perlu bertindak sekarang.

“Ini adalah satu pembohongan dan merupakan taktik yang sama digunakan oleh Israel untuk mengheret kita ke dalam perang Iraq yang membawa bencana serta meragut nyawa ribuan lelaki dan wanita terbaik negara kita. Kita tidak boleh mengulangi kesilapan ini lagi,” katanya.

Beliau turut menggesa Trump, supaya mengubah haluan dan menghentikan perang segera.

“Anda boleh mengubah haluan dan merangka laluan baharu untuk negara kita, atau anda boleh membiarkan kita terjerumus lebih jauh lagi ke arah kemerosotan serta kekacauan. Keputusan berada dalam tangan anda,” tulisnya.

Senator Demokrat, Mark Warner, pemimpin paling kanan dalam Jawatankuasa Perisikan Senat berkata, tindakan Kent sangat membimbangkan.

“Namun dalam perkara ini, beliau betul. Tiada bukti kukuh mengenai ancaman segera dari Iran yang boleh membenarkan AS tergesa-gesa terlibat dalam satu lagi perang pilihan di Asia Barat,” kata Warner.

Rumah Putih menolak kandungan surat Kent, mendakwa Trump mempunyai bukti kukuh Iran sedang bersiap untuk menyerang AS terlebih dahulu. Sebuah badan pemantau kebencian di AS pula menuduh Kent menggunakan retorik antisemitisme.

Di Pejabat Oval pada Selasa, Trump mendakwa Kent ialah seorang lelaki yang baik, tetapi lemah dalam soal keselamatan.

“Surat peletakan jawatan Kent membuatkan saya sedar adalah satu perkara yang baik beliau sudah tiada dalam pentadbiran,” katanya.-AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN