Operasi lapangan terbang Dubai digantung akibat serangan Iran - Utusan Malaysia

Operasi lapangan terbang Dubai digantung akibat serangan Iran

Rakaman video ini yang dimuat naik di media sosial pada 7 Mac lalu memaparkan asap menjulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) digantung sementara atas faktor keselamatan, menurut pihak berkuasa penerbangan bandar raya itu pada Isnin sejurus selepas insiden serangan dron yang mencetuskan kebakaran di kawasan berhampiran.

“Lembaga Penerbangan Awam Dubai mengumumkan penggantungan sementara penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan semua penumpang dan kakitangan,” menurut hantaran Pejabat Media Dubai di platform X.

Tambah kenyataan itu, pasukan pertahanan awam berjaya mengawal kebakaran yang berpunca daripada impak serangan ke atas salah satu tangki bahan api di kawasan sekitar lapangan terbang tersebut. Terdahulu, pejabat media melaporkan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Syarikat penerbangan Emirates turut mengumumkan penggantungan sementara semua penerbangan dari dan ke Dubai melalui hantaran di X.

Negara-negara Arab Teluk kini berdepan lebih 2,000 serangan peluru berpandu dan dron sejak tercetusnya perang antara Amerika Syarikat (AS)-Israel menentang Iran pada 28 Februari lalu. 

Sasaran serangan termasuk misi diplomatik dan pangkalan tentera AS, selain infrastruktur minyak kritikal, pelabuhan, lapangan terbang, hotel dan bangunan kediaman serta pejabat.

Sebelum ini, UAE menormalkan hubungan dengan musuh ketat Iran iaitu Israel pada 2020 dan kini ia merupakan antara negara yang paling teruk terjejas akibat serangan tersebut.

Pada Rabu, pejabat media bandar raya itu memaklumkan dua dron yang jatuh telah mencederakan empat individu berhampiran lapangan terbang tersebut yang sebelum ini merupakan antara yang tersibuk di dunia.

Iran dilaporkan telah melancarkan lebih 1,800 peluru berpandu ke negara berkenaan sehingga menjejaskan pelan perjalanan di hab kewangan itu meskipun sistem pertahanan udaranya berjaya memintas sebahagian besar bedilan tersebut.

Kementerian Pertahanan UAE melaporkan enam kematian sejak perang bermula, termasuk empat orang awam dan dua anggota tentera yang terkorban dalam nahas helikopter akibat kegagalan teknikal.

Negara-negara Arab Teluk termasuk UAE telah  mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang dilancarkan oleh Iran.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN