TEXAS: Sebuah lakaran pesawat futuristik hasil karya artis Charles Dellschau, seorang imigran Prusia yang berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) pada 1850 didapati memaparkan perkataan Trump.
Malah, lakaran tersebut turut memaparkan nombor 47, iaitu angka yang merujuk kepada kedudukan Donald Trump sebagai Presiden AS yang ke-47.
Sebelum kematiannya, Dellschau mencipta gambaran mesin terbang fantasi yang dipanggilnya sebagai ‘aeros’ iaitu gabungan antara kapal udara awal, belon dan pesawat primitif.
Bagaimanapun, ahli-ahli teori konspirasi kini memberi tumpuan kepada kekerapan nama Trump muncul bersama nombor yang dikaitkan dengan penggal perkhidmatannya sebagai Presiden.
Nama Trump turut dikaitkan dengan novel lama karya Ingersoll Lockwood pada akhir 1800-an.
Novel itu menampilkan watak kanak-kanak bernama Baron Trump.
Dalam novel tersebut, Baron diceritakan tinggal di ‘Istana Trump’ dan dibimbing oleh seorang mentor bijaksana bernama Don untuk memulakan pengembaraan hebat.
Selain itu, satu lagi lakaran Dellschau menunjukkan seorang manusia berambut emas sedang mengemudi mesin yang dilabel dengan nombor 45. Nombor itu dikaitkan dengan Trump sebagai presiden ke-45
Menurut Muzium Seni Visionari Amerika di Maryland, pesawat rekaan Dellschau itu dikuasakan oleh bahan anti-graviti yang dipanggil ‘NB Gas‘ atau ‘supe‘.
Teknologi ini mirip dengan penerangan tentang objek terbang tidak dikenali (UFO) dan Trump pernah berjanji untuk mendedahkannya kepada rakyat Amerika semasa penggal pemerintahannya. – AGENSI










