LONDON: Satu rakaman audio daripada ketua protokol rejim Iran, Mazaher Hosseini mendedahkan Mojtaba Khamenei terselamat daripada maut beberapa saat selepas beliau keluar dari rumah manakala bapanya yang juga pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel.
Pemimpin tertinggi baharu Iran itu menjadi sasaran dalam serangan itu pada 28 Februari, namun keputusannya untuk keluar sebentar ke luar rumah di Teheran untuk melakukan ‘sesuatu’ ‘telah menyelamatkan nyawanya.
Satu ucapan yang disampaikan oleh Hosseini, memberikan gambaran terperinci tentang apa yang berlaku apabila sebuah peluru berpandu Israel mengenai rumah keluarga tersebut.
Hosseini memberitahu para ulama kanan dan komander Pasukan Pengawal Revolusi Republik Islam (IRGC) bahawa anak pemimpin tertinggi itu mengalami kecederaan pada kakinya.
Sementara itu, isteri dan anak lelakinya terbunuh serta-merta termasuk adik iparnya.
Dalam rakaman audio yang dibocorkan kepada The Daily Telegraph, Hosseini berkata: “Dengan kehendak Tuhan, Mojtaba keluar ke halaman untuk melakukan sesuatu dan kemudian kembali semula.
“Beliau berada di luar dan sedang menuju ke tingkat atas ketika bangunan itu diserang dengan peluru berpandu. Isterinya, Haddad, syahid serta-merta.”
Menurut Hosseini lagi, jasad Ketua Biro Ketenteraan Khamenei, Mohammad Shirazi berkecai akibat letupan.
Khamenei tinggal di kawasan kompleks yang sama dengan bapanya di Teheran.
Timbalan Menteri Luar Iran, Saeed Khatibzadeh memberitahu Sky News bahawa Khamenei kini berada adalah keadaan sihat. – AGENSI










