KAHERAH: Mesir menaikkan harga bahan api domestik sehingga 30 peratus pada Selasa, menyalahkan tekanan tenaga global yang luar biasa akibat perang di Asia Barat yang mengganggu bekalan minyak serta laluan perkapalan.
Kenaikan yang diumumkan oleh Kementerian Petroleum Mesir itu melibatkan petrol, diesel dan gas asli yang digunakan untuk kenderaan.
Kementerian itu dalam kenyataan berkata, pelarasan harga didorong oleh gangguan rantaian bekalan, peningkatan tahap risiko serta kos penghantaran dan insurans maritim yang lebih tinggi, menyebabkan harga produk petroleum meningkat ke tahap tidak pernah berlaku sejak beberapa tahun lalu.
Harga minyak dunia melonjak melebihi AS$119 (RM467) setong pada Isnin sebelum jatuh kepada AS$84 (RM329) setong selepas Presiden Donald Trump mendakwa perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran dijangka berakhir tidak lama lagi.
Diesel, antara bahan api paling banyak digunakan di Mesir, meningkat sebanyak tiga pound Mesir atau kira-kira 17.1 peratus kepada 20.50 pound (RM1.49) seliter, berbanding 17.50 pound sebelum ini.
Harga petrol 80-oktana meningkat kira-kira 16.9 peratus kepada 20.75 pound seliter, manakala petrol 92-oktana naik sekitar 15.6 peratus kepada 22.25 pound.
Harga petrol 95-oktana pula meningkat kira-kira 14.3 peratus kepada 24 pound, menurut kementerian itu.
Gas asli yang digunakan untuk kenderaan mencatat kenaikan terbesar, melonjak 30 peratus kepada 13 pound bagi setiap meter padu.
Mesir menaikkan harga bahan api empat kali dalam tempoh dua tahun lalu di bawah program pinjaman AS$8 bilion (RM31 bilion) daripada Tabung Kewangan Antarabangsa.
Kenaikan pada Oktober lalu sehingga 13 peratus sebelum ini dijangka menjadi yang terakhir di bawah pelan berkenaan.- AFP










