Mark Zuckerberg beli rumah agam Miami RM671 juta

Mark Zuckerberg beli rumah agam Miami RM671 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIAMI: Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg dilaporkan telah memiliki pengkalan baharu di Florida menerusi pembelian sebuah rumah agam mega bernilai AS$170 juta (RM671 juta) yang terletak di pulau tersohor digelar ‘bunker jutawan’ Miami.

Kediaman mewah tersebut terletak hanya selang tiga buah rumah dari kompleks hartanah milik rakan hartawan teknologinya, Jeff Bezos.

Menurut laporan Wall Street Journal, bilionair itu kini merupakan pemilik sah hartanah yang mempunyai sembilan bilik tidur dan 11.5 bilik air tersebut.

Hartanah itu pada asalnya diletakkan di pasaran dengan harga yang lebih tinggi iaitu AS$200 (RM789.5) juta pada November 2025.

Pembelian oleh Zuckerberg yang dimuktamadkan pada 2 Mac itu mencatatkan transaksi hartanah kediaman paling mahal pernah direkodkan di daerah Miami-Dade, selain menjadi antara kediaman termahal yang pernah dijual di Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, nilai transaksi ini masih belum mengatasi rekod kebangsaan yang dipegang oleh bilionair, Ken Griffin yang membeli sebuah penthouse di New York City dengan harga AS$238 juta (RM939.5 juta) pada 2019.

Rekod rumah termahal di Florida pula kekal milik sebuah kompleks hartanah tepi air di Naples bernilai AS$225 juta (RM888.1 juta) yang bertukar milik pada April 2025.

Zuckerberg dan isterinya, Priscilla Chan, dijangka mengambil masa sebelum dapat berpindah masuk memandangkan pembinaan kediaman mewah tersebut masih berjalan.

Lakaran reka bentuk yang dikongsikan dalam senarai jualan mendedahkan kemewahan luar biasa yang bakal dinikmati mereka setelah kediaman itu siap sepenuhnya.

Semasa mula disenaraikan pada penghujung tahun lalu, rumah tersebut disifatkan sebagai karya agung seni bina yang mendefinisikan puncak kehidupan mewah di tepi pantai.

Rumah agam ini dibina dan dimiliki pakar bedah plastik, Aaron Rollins dan isterinya yang juga ejen hartanah, Marine Rollins.

Pasangan itu membeli lot tepi laut seluas 0.75 hektar di Pulau Indian Creek berkenaan dengan harga AS$30 juta (RM118.4 juta) pada tahun 2020 mengikut rekod sedia ada. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN