TEL AVIV: Saluran televisyen Israel melaporkan berlaku letupan di sebuah kilang penapisan minyak di bandar utara Haifa pada Isnin.
Ia berlaku sejurus selepas pihak tentera memaklumkan bahawa mereka telah mengesan peluru berpandu baharu yang datang dari Iran.
Rangkaian televisyen Channel 12 menyiarkan imej asap hitam tebal yang berkepul naik ke langit dari lokasi tersebut.
Laporan itu tidak menyatakan punca sebenar letupan itu, namun kejadian tersebut berlaku tidak lama selepas pihak tentera memaklumkan bahawa mereka telah mengesan satu lagi peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran.
Pihak tentera berkata pasukan mencari dan menyelamat sedang dalam perjalanan ke lokasi di utara Israel itu, selepas menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
Masih belum dapat dipastikan sama ada kilang penapisan itu terkena secara langsung serangan peluru berpandu dari Iran atau Lubnan.
Setakat ini, masih belum diketahui sama ada ia terkena serpihan hasil pemintasan peluru berpandu.
Rakaman video yang diperoleh AFP sejurus selepas media melaporkan kejadian itu, memaparkan kepulan asap gelap naik dari atas tangki-tangki berbentuk silinder.
Wartawan AFP yang tiba di lokasi kira-kira sejam kemudian berkata, asap tersebut telah mula hilang dan anggota bomba sedang berusaha mengawal kebakaran. – AFP










