BEIJING: Seorang penduduk kampung di China yang sedang menyediakan seekor itik untuk makan malam terkejut besar selepas menemui beberapa butiran emas yang kecil bernilai kira-kira 20,000 yuan (RM6,860) di dalam perut haiwan itu.
Lelaki yang hanya dikenali dengan nama keluarga Liu itu menemukan butiran emas itu di daerah Longhui, wilayah Hunan selepas membunuh itik peliharaan yang dibela secara bebas olehnya sendiri.
Menurut laporan akhbar South China Morning Post, Liu beliau membelah perut haiwan itu kemudian menemui beberapa butiran tersebut yang bercampur dengan kandungan penghadaman itik tersebut.
Pada mulanya, lelaki itu menyangka butiran itu hanya batu kecil atau serpihan logam biasa.
Namun, ia menyedari kilauan yang luar biasa pada butiran itu yang kemudian didapatinya ialah emas.
Laporan tempatan menyatakan bahawa serpihan yang ditemukan Liu seberat kira-kira 10 gram secara keseluruhan, memberikan nilai anggaran sekitar 20,000 yuan.
Liu dilaporkan telah menjalankan ujian haba ringkas, kaedah yang sering digunakan untuk membezakan emas daripada logam lain. Apabila butiran tersebut tidak berubah warna selepas dibakar, dia mengesyaki bahawa ia adalah emas.
“Pengesahan lanjut oleh agensi khusus diperlukan untuk mengesahkan sama ada butiran itu adalah emas atau tidak,” kata Biro Sumber Asli Wilayah Longhu
Pihak berkuasa tempatan menyatakan penemuan itu adalah munasabah memandangkan sejarah geologi wilayah berkenaan, lapor akhbar Liaoshen Evening News.
Sungai-sungai di kawasan sekitar secara sejarahnya dikaitkan dengan penemuan emas semula jadi dalam sedimen sungai.
Pada 2024, pakar geologi telah mengenal pasti rizab emas yang luas di Pingjiang, Hunan, dengan sumber yang disahkan sekitar 300 tan dan berpotensi menghasilkan lebih 1,000 tan emas. – AGENSI










