TRUJILLO: Kira-kira 33 orang dilaporkan cedera, termasuk beberapa remaja bawah umur dalam satu serangan bom di sebuah kelab malam di bandar pesisir pantai Trujillo, utara Peru.
Pihak berkuasa memaklumkan serangan itu berlaku pada awal pagi Sabtu apabila satu letupan kuat menggegarkan kelab berkenaan.
Walaupun punca sebenar letupan masih dalam siasatan, kejadian ini berlaku di wilayah yang terkesan teruk akibat peningkatan jenayah terancang yang kini menjadi kebimbangan utama di Peru.
Menurut Pengarah Eksekutif Rangkaian Kesihatan Trujillo, Gerardo Florian Gomez, sekurang-kurangnya lima daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal.
Antara mangsa yang cedera termasuk tiga remaja bawah umur, iaitu seorang berusia 16 tahun dan dua lagi berusia 17 tahun.
Lapor Al Jazeera, beberapa mangsa dilaporkan mengalami kecederaan akibat serpihan bom dan terpaksa menjalani pembedahan serta prosedur amputasi anggota badan. Insiden serupa pernah berlaku di bandar yang sama kurang sebulan lalu.
Trujillo, yang terletak kira-kira 500 kilometer ke utara ibu negara Lima, merupakan antara bandar paling padat penduduk di negara itu.
Data rasmi menunjukkan sebanyak 136 kes letupan berlaku di Trujillo sepanjang tahun 2025. Secara keseluruhan, 286 letupan direkodkan di wilayah La Libertad yang lebih luas, yang kini menjadi pusat kegiatan perlombongan haram dan pemerasan oleh kumpulan jenayah terancang.
Penganalisis dan kumpulan hak asasi menyatakan jenayah terancang, isu serius di Peru dan negara Amerika Selatan yang lain kini mendapat kelebihan susulan undang-undang yang diluluskan oleh Kongres Peru yang melemahkan ketelusan kerajaan serta pemantauan kehakiman dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada masa yang sama, kerajaan turut menggunakan kuasa kecemasan atas alasan untuk memerangi jenayah.
Pada Oktober lalu, kerajaan Peru melaksanakan perintah darurat selama 30 hari di Lima sebagai tindak balas terhadap tercetusnya protes antikerajaan.










