BRUSSELS: Sekumpulan negara Eropah mengumumkan rancangan untuk melepaskan stok minyak kecemasan selepas Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mengesyorkan pengeluaran rizab pada skala terbesar bagi membantu menstabilkan harga tenaga yang melonjak susulan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.
Pengarah Eksekutif IEA, Fatih Birol berkata, sebanyak 32 negara anggota agensi itu sebulat suara bersetuju menyediakan 400 juta tong minyak ke pasaran daripada rizab kecemasan masing-masing.
Langkah itu bertujuan menangani gangguan dalam pasaran minyak global akibat konflik di Asia Barat, khususnya penutupan Selat Hormuz, laluan perkapalan penting dunia bagi bekalan tenaga dan makanan.
Pada 28 Februari, Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan bersama ke atas Teheran serta beberapa bandar lain di Iran.
Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan gelombang serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan aset Israel dan AS di Asia Barat.
Menurut IEA, konflik tersebut telah menjejaskan aliran minyak melalui Selat Hormuz dengan teruk, apabila eksport minyak mentah dan produk petroleum bertapis kini berada pada kurang daripada 10 peratus berbanding tahap sebelum konflik.
Minyak mentah Brent, penanda aras minyak antarabangsa, sempat melonjak kepada sekitar AS$119 (RMRM467) setong pada Isnin, paras tertinggi sejak pertengahan 2022, sebelum susut kepada AS$87.57 (RM343.80) pada Rabu.
Presiden Suruhanjaya Eropah (EC), Ursula von der Leyen berkata, sejak konflik bermula, harga gas meningkat sebanyak 50 peratus manakala harga minyak naik 27 peratus.
Bercakap selepas sidang video pemimpin Kumpulan Tujuh (G7), Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengesahkan negaranya akan melepaskan 14.5 juta tong minyak daripada rizab strategiknya.
Menteri Ekonomi dan Tenaga Jerman, Katherina Reiche pula mengumumkan Berlin pula akan melepaskan 19.51 juta tong daripada rizab strategiknya, menegaskan negara itu akan bertindak selaras dengan prinsip solidariti yang digariskan oleh IEA.
Sementara itu, United Kingdom (UK) berkata, ia akan menyumbang 13.5 juta tong minyak bagi membantu melindungi pengguna daripada gangguan bekalan global jangka pendek yang boleh mencetuskan ketidaktentuan harga dan menjejaskan ekonomi dunia, menurut kenyataan kerajaan.
Negara anggota IEA lain di Eropah turut mengumumkan sumbangan masing-masing.
Belanda akan melepaskan 5.36 juta tong daripada rizab strategik negara, iaitu kira-kira 20 peratus daripada jumlah stoknya, sementara Austria pula akan mula melepaskan 325,000 tan minyak mentah daripada rizab strategiknya sebagai sebahagian daripada usaha bersama menstabilkan pasaran tenaga global.
Perdana Menteri Portugal, Luis Montenegro berkata, negaranya akan melepaskan kira-kira 10 peratus daripada rizab minyak strategiknya.
Sementara itu, Latvia, Estonia dan Lithuania turut menyatakan kesediaan untuk melepaskan stok minyak kecemasan ke pasaran.
Menurut IEA, negara anggotanya secara kolektif memiliki lebih 1.2 bilion tong rizab minyak kecemasan, selain kira-kira 600 juta tong stok industri yang disimpan di bawah kewajipan kerajaan.-AGENSI










