TOKYO: Kerajaan Jepun menggesa rakyat supaya tidak membeli tisu tandas secara panik selepas beberapa hantaran media sosial menunjukkan orang ramai mula menyimpan barangan keperluan harian ekoran kebimbangan terhadap perang di Asia Barat.
Pembelian panik tisu tandas pernah menjadi fenomena di Jepun ketika kejutan minyak 1973, yang mencetuskan penguncupan ekonomi pertama pasca perang di negara itu.
Gempa bumi dan tsunami dahsyat pada 2011 serta pandemik Covid-19 turut mencetuskan fenomena yang sama.
Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri dalam kenyataan berkata, pembeli harus membuat keputusan rasional mengenai pembelian tisu tandas berdasarkan maklumat yang tepat.
“Kedai ubat berhampiran habis stok tisu tandas! Nampaknya semua orang sedang membelinya,” menurut seorang pengguna X.
Hantaran lain turut memaparkan foto bekalan yang didakwa ditimbun pengguna, termasuk makanan kucing, barangan penjagaan diri dan minuman keras.
Menurut Persatuan Industri Kertas Isi Rumah Jepun, kira-kira 97 peratus tisu tandas dihasilkan di dalam negara, menggunakan kertas dan pulpa kitar semula, tanpa bergantung pada Asia Barat.
Kumpulan itu berkata, pengeluaran tidak terjejas secara langsung dan terdapat kapasiti yang mencukupi untuk meningkatkan pengeluaran sekiranya perlu.
Kementerian berkata, kumpulan peruncit turut mengeluarkan kenyataan serupa.- AGENSI











