Israel tingkat bajet pertahanan RM181 bilion - Utusan Malaysia

Israel tingkat bajet pertahanan RM181 bilion

ISRAEL meningkatkan bajet pertahanan untuk tahun ini kepada RM181 bilion bagi menghadapi perang. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Parlimen Israel meluluskan bajet tahun 2026 dengan peruntukan peningkatan ketara dalam perbelanjaan ketenteraan ketika negara itu terus terlibat dalam peperangan di Asia Barat.

Susulan kelulusan itu, bajet kementerian pertahanannya kini meningkat melebihi AS$45 bilion (RM181 bilion).

Keputusan itu mengelakkan kejatuhan automatik kerajaan dan pilihan raya mengejut yang sepatutnya berlaku jika bajet gagal diluluskan sebelum penghujung Mac, seperti diperuntukkan undang-undang Israel.

Jumlah keseluruhan perbelanjaan yang dicadangkan bagi 2026 dianggarkan sekitar AS$270 bilion (RM1.08 trilion).

“Sebagai sebahagian daripada bajet yang dikemas kini dan susulan Operasi ‘Roaring Lion’, lebih AS$10 bilion (RM40.2 billion) ditambah kepada bajet kementerian pertahanan, menjadikannya melebihi AS$45 bilion (RM181 bilion),” menurut kenyataan Parlimen, merujuk kepada nama yang digunakan Israel bagi perang dengan Iran.

Perbelanjaan pertahanan Israel meningkat secara berterusan sejak perang di Gaza tercetus. Selain perang baharu dengan Iran bersama sekutunya Amerika Syarikat (AS) sejak 28 Februari, Israel turut berdepan pertempuran dengan kumpulan Hizbollah yang disokong Iran, di selatan Lubnan.

Menjelang undian, ahli Parlimen berbahas mengenai cadangan bajet hingga lewat malam Ahad. Menteri Kewangan berhaluan kanan, Bezalel Smotrich menyifatkannya sebagai ‘titik perubahan bersejarah’ bagi Israel.

“Kita mempunyai keupayaan untuk membentuk semula Asia Barat. Bajet ini meletakkan negara pada landasan untuk menang. Kita meluluskan bajet ini di bawah kerajaan sayap kanan yang komited untuk menamatkan penggal dan mencapai misi dalam keselamatan, ekonomi serta reformasi kehakiman,” katanya.

Beliau turut memuji prestasi makroekonomi Israel sebagai ‘menakjubkan’ walaupun dalam keadaan perang.

Bagaimanapun Ketua pembangkang, Yair Lapid menyifatkan bajet itu sebagai ‘kecurian terbesar dalam sejarah negara’.

“AS$1.9 bilion (RM7.6 bilion) adalah dana gabungan yang diperuntukkan kerajaan ini untuk dirinya sendiri  kepada rasuah dan mengelakkan (kerahan) wajib tentera. 

“Rakyat Israel tidak bodoh. Mereka memahami bajet ini adalah durian runtuh untuk pihak korup dan mereka yang mengelak tanggungjawab dan bersuka ria atas beban kita,” tegasnya.

Sebelum ini, Lapid turut mengkritik kerajaan berhubung pengendalian perang dengan Iran, khususnya kelewatan meluluskan undang-undang bagi membolehkan golongan Yahudi ultra-Ortodoks yang sebahagian besarnya dikecualikan daripada perkhidmatan ketenteraan diwajibkan menyertai tentera.

Undang-undang itu selari dengan kehendak majoriti rakyat Israel yang semakin menentang pengecualian tersebut. Namun. Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang bergantung kepada sokongan parti ultra-Ortodoks untuk kekal berkuasa, menangguhkan pelaksanaannya. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN