TEL AVIV/BANDAR RAYA KUWAIT/TEHERAN/WASHINGTON: Israel tidak mempedulikan kenyataan sekutunya, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang pada Khamis menangguhkan serangan terhadap Iran selama 10 hari untuk memberi ruang kepada rundingan dengan Teheran.
Tentera Israel mengesahkan serangannya ke atas beberapa sasaran di Teheran pada awal Jumaat, hampir sebulan selepas perang di Asia Barat tercetus.
Dalam satu kenyataan ringkas, tentera Israel mendakwa pasukannya melaksanakan gelombang serangan berskala besar yang menyasarkan infrastruktur Iran di tengah Teheran.
PELURU BERPANDU
Dalam satu kenyataan berasingan, tentera rejim Zionis mendakwa, pasukannya juga menyerang tapak pengeluaran peluru berpandu dan sistem pertahanan udara di seluruh Iran.
Mereka melaporkan memusnahkan pelancar peluru berpandu dan tapak penyimpanan di barat Iran, serta tapak pengeluaran peluru berpandu di Teheran.
Iran diserang hebat sejak 28 Februari, apabila AS dan Israel memulakan pencerobohan mereka.
Israel berkata pada Khamis, pasukannya memusnahkan dan membunuh komander laut Pasukan Pengawal Revolusi Republik Islam, Alireza Tangsiri, serta beberapa pegawai kanan lain.
Sebelum ini, Trump berulang kali mendakwa terdapat kemajuan dalam rundingan dengan Iran, walaupun Teheran menafikan sebarang perbincangan rasmi sedang berlangsung.
HOTEL
Tentera Iran memberi amaran hotel yang menempatkan tentera AS di seluruh rantau Asia Barat akan menjadi sasaran dalam perang mereka dengan Washington dan Israel.
“Apabila semua tentera Amerika berada di dalam hotel, dari perspektif kami, hotel itu menjadi milik Amerika.
“Adakah kita hanya berdiri dan membiarkan tentera Amerika menyerang kita? Apabila kita bertindak balas, secara semula jadi kita perlu menyerang di mana sahaja mereka berada,” kata jurucakap tentera, Abolfazl Shekarchi kepada televisyen Iran pada Khamis.
Perang yang membunuh bekas pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei dan merebak ke seluruh rantau Asia Barat, dengan Iran bertindak balas menggunakan serangan dron termasuk peluru berpandu ke atas Israel serta kepentingan AS di kawasan tersebut.
PERISAI MANUSIA
Kelmarin, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menuduh tentera AS menggunakan rakyat di negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) sebagai ‘perisai manusia’.
“Sejak permulaan perang ini, tentera AS melarikan diri dari pangkalan ketenteraan di GCC untuk bersembunyi di hotel dan pejabat,” kata Shekarchi dalam hantaran di X, menyeru hotel di rantau itu agar menolak tempahan bagi mereka.
Agensi berita Fars, memetik sumber tidak dinamakan, melaporkan bahawa Iran menghantar ‘amaran tegas’ kepada hotel-hotel di rantau ini, terutamanya di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain.
Menurut laporan itu, tentera Iran turut mengenal pasti tentera AS menggunakan lokasi serupa di Syria, Lubnan dan Djibouti.
Iran menuduh negara jiran membenarkan tentera AS melancarkan serangan dari wilayah mereka, namun negara-negara Teluk telah berulang kali menafikan dakwaan tersebut.
Negara-negara Teluk menyatakan bahawa sebelum perang pun mereka tidak akan membenarkan wilayah atau ruang udara masing-masing digunakan untuk menyerang Iran.
REAKSI DINGIN IRAN
Trump, menangguhkan serangan di tengah-tengah rundingan yang dikatakan ‘berjalan dengan baik’ untuk menamatkan perang.
Beliau sebelum ini memberi Iran 48 jam untuk membuka Selat Hormuz, laluan strategik bagi kapal tangki minyak dengan ancaman memusnahkan loji tenaga negara itu.
Tarikh akhir itu kini dilanjutkan sehingga 6 April 2026.
“Kira-kira satu per lima daripada minyak mentah dan gas asli cecair global melalui Selat Hormuz ketika aman. Rundingan ini penting bagi memastikan kestabilan pasaran tenaga dunia,” kata Trump.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menyeru negara-negara Kumpulan Tujuh mendesak pembukaan semula selat itu semasa menghadiri mesyuarat menteri luar di Perancis semalam.
Trump menyatakan beliau tidak terdesak untuk perjanjian damai, walaupun Iran memberikan reaksi dingin terhadap pelan AS. Serangan Israel ke Teheran, termasuk sasaran loji peluru berpandu dan sistem pertahanan udara, semakin memuncakkan ketegangan di Asia Barat.
“Rundingan sedang berlangsung dan walaupun terdapat kenyataan salah oleh media dan lain-lain, ia berjalan dengan sangat baik,” tulis Trump di platform Truth Social.
Utusan khas presiden, Steve Witkoff, memberitahu mesyuarat Kabinet sebelum ini terdapat ‘isyarat kukuh’ Teheran bersedia untuk berunding, sehingga mengesahkan secara terbuka buat kali pertama Washington menyerahkan senarai 15 perkara kepada Teheran melalui pegawai Pakistan.
“Kita akan lihat ke mana perkara ini dibawa dan jika kita dapat meyakinkan Iran bahawa ini adalah titik kritikal tanpa alternatif yang baik bagi mereka selain membawa lebih kematian dan kemusnahan,” kata Witkoff.
Dalam mesyuarat itu, Trump berkata, Iran membenarkan 10 kapal tangki minyak melalui Selat Hormuz sebagai tanda keseriusan mereka terhadap rundingan.
Agensi berita Iran, Tasnim, melaporkan Teheran memberi maklum balas terhadap 15 cadangan Washington dan kini ‘menunggu respons pihak lain’.
Sementara itu, di Lubnan, media negara melaporkan serangan udara di pinggir selatan Beirut, sementara wartawan AFP mendengar beberapa letupan dari kubu kuat Hizbollah.
SERANGAN
Pasukan Pengawal Revolusi Republik Islam Iran mendakwa melancarkan beberapa serangan peluru berpandu dan dron pada Khamis, menyasarkan tapak di Israel serta kemudahan ketenteraan di Teluk yang digunakan oleh tentera AS.
Pelabuhan komersial utama Kuwait mengalami kerosakan akibat serangan dron pada Jumaat, menurut pihak berkuasa.
Pelabuhan Shuwaikh disasarkan pada waktu subuh oleh dron musuh. Laporan awal mendedahkan kerosakan harta benda tetapi tiada korban manusia, menurut kenyataan pihak berkuasa pelabuhan Kuwait di X.
Sebuah pelabuhan kedua yang masih dalam pembinaan di utara negara itu juga disasarkan pada Jumaat, menurut kementerian kerja awam.
Serangan misil dan dron ke atas Pelabuhan Mubarak al-Kabeer turut menyebabkan kerosakan tetapi tiada korban, kata kementerian itu.
Sejak perang bermula, lebih 1,400 orang maut di Asia Barat termasuk askar AS dengan sekurang-kurangnya 19 orang telah terkorban dan lebih 5,229 yang lain cedera di Israel dalam serangan Iran. – AGENSI











