Israel kekurangan askar tempur - Utusan Malaysia

Israel kekurangan askar tempur

GAMBAR fail seorang askar Israel di atas sebuah kereta kebal di sempadan Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Ketua pembangkang utama Israel, Yair Lapid, pada Khamis menuduh kerajaan sedang mengheret negara ke arah bencana keselamatan akibat kekurangan anggota tentera tempur.

“Pasukan Pertahanan Israel (IDF) telah dikerahkan hingga ke tahap maksimum dan melampau. Kerajaan membiarkan askar yang cedera terus berada di medan perang,” kata Lapid dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen Israel.

Beliau  mengulangi amaran yang disampaikan sehari sebelumnya oleh ketua tentera, Leftenan Jeneral Eyal Zamir kepada Kabinet keselamatan, menurut laporan media Israel.

“Kerajaan menghantar tentera ke dalam peperangan pelbagai medan tanpa strategi, tanpa sumber yang diperlukan dan dengan jumlah anggota yang terlalu sedikit,” kata Lapid.

Laporan media memetik Zamir sebagai memberitahu Kabinet keselamatan bahawa IDF berada di ambang keruntuhan.

Mengulas mengenai kekurangan anggota tentera dalam satu taklimat televisyen pada Khamis, jurucakap tentera, Brigedier Jeneral Effie Defrin berkata bahawa lebih ramai anggota tentera tempur diperlukan di pelbagai medan pertempuran, khususnya di Lubnan.

“Zon pertahanan hadapan yang sedang kami wujudkandi medan pertempuran Lubnan  memerlukan tambahan pasukan IDF,” kata Defrin, sambil turut menyebut peningkatan keperluan di Tebing Barat yang diduduki Israel iaitu Gaza dan Syria.

Lapid berkata, Zamir memaklumkan kepada Kabinet bahawa terdapat anggota simpanan yang telah menjalani pusingan tugas kali keenam dan ketujuh.

“Anggota simpanan ini sudah keletihan dan kehabisan tenaga serta tidak lagi mampu memenuhi cabaran keselamatan kita,” kata Lapid.

“Angkatan tentera tidak mempunyai anggota yang mencukupi untuk melaksanakan misinya.”

Lapid menggesa agar lelaki-lelaki daripada komuniti ultra-Ortodoks Haredi dikerahkan, yang sejak penubuhan Israel pada tahun 1948 dikecualikan daripada perkhidmatan tentera.

Perkhidmatan ketenteraan adalah wajib di Israel, namun berdasarkan ketetapan sejak penubuhan negara itu  ketika komuniti ultra-Ortodoks masih kecil, lelaki-lelaki yang menumpukan sepenuh masa kepada pengajian teks suci kitab agama Yahudi diberikan pengecualian secara de facto.

“Kerajaan mesti berhenti bersikap pengecut, segera menghentikan semua pembiayaan kepada golongan Haredi yang mengelak daripada kerahan tentera, menghantar polis tentera untuk memburu pembelot  dan mengerahkan golongan Haredi tanpa berlengah,” kata Lapid. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN